MUSHTARI bersama setem, sampul surat hari pertama dan poskad sejarah yang dimilikinya. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Muhammad Mustakim Ramli
m.mustakim@nstp.com.my

Kangar: Bagaikan buku sejarah Malaysia. Itu yang dapat disimpulkan mengenai puluhan ribu sampul surat hari pertama dijadikan koleksi seorang penjual insurans, Mushtari Muhammad, 46.

Sesetengah orang hanya tertumpu kepada setem namun sampul surat ada kelebihan tersendiri apatah lagi sampul surat hari pertama yang mencatat sejarah terhadap suatu peristiwa di dalam negara.

Mushtari berkata, sampul surat hari pertama adalah sampul dikeluarkan pada hari sama setem peringatan dikeluarkan di mana cop rasmi (tanda pos) hari pertama adalah berbeza dengan cop pembatalan biasa yang digunakan di pejabat pos pada hari biasa.

“Ia dikeluarkan dengan jumlah terhad dan dijual di Pejabat Pos pada satu hari saja dan cop rasmi itu hanya boleh diperoleh pada hari yang sama.

“Pada cop berkenaan terdapat tarikh dan ia adalah catatan sejarah yang berlaku di negara kita. Sebagai contoh dalam koleksi saya terdapat pertabalan Yang di-Pertuan Agong, pertabalan sultan, Proton dilancarkan dan perlumbaan Formula 1 di Litar Sepang,” katanya ketika ditemui di Taman Sena Indah di sini.


MUSHTARI menunjukkan fail yang berisi setem, sampul surat pertama dan poskad bersempena hari kelahiran Tun Dr Mahathir Mohamad. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Katanya, hobi mengumpul sampul surat hari pertama juga menuntut peminatnya untuk keluar ‘memburu’.

“Memburu ini adalah mengumpul cop biasa untuk dicop pada sampul surat hari pertama.

“Jika pada hari berkenaan adalah sambutan Penang Free School yang ke-200 tahun, maka saya akan ke Pulau Pinang untuk dapatkan cop di pejabat pos di negeri berkenaan.

“Ia lebih rare kerana cop berkenaan diperoleh di negeri berlakunya peristiwa berkenaan. Jika jauh atau menelan kos yang tinggi untuk pergi dan balik, saya akan minta bantuan rakan negeri lain untuk mengumpulnya,” katanya.

Antara koleksi sampul surat hari pertama yang berada dalam simpanan Mushtari adalah lawatan Putera William ke Malaysia, Penang Free School 200 tahun dan kejayaan paralimpik di Sukan Paralimpik di Rio, Brazil.

Malah, dia juga mengumpul sampul surat hari pertama luar dari Malaysia, antaranya sampul surat Argentina menjuarai Piala Dunia 1978 dan filem antarabangsa.


MUSHTARI menunjukkan antara koleksi Sampul Surat Hari Pertama bersempena Hari Keputeraan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. FOTO Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Ogos 2018 @ 4:00 AM