FOTO Reuters
Reuters

PIHAK berkuasa Indonesia sudah bersetuju untuk memulangkan kapal bernilai AS$250 juta (RM981 juta) dikaitkan dengan skandal dana kedaulatan negara, yang dirampas di Bali, awal tahun ini.

Kapal Equanimity itu sebelum ini dikehendaki Amerika Syarikat dalam siasatan Jabatan Keadilan (DOJ) terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mahkamah Indonesia pada April lalu memutuskan bahawa rampasan berkenaan adalah salah dan perlu diserahkan semula kepada pemiliknya.

Pihak berkuasa Indonesia bagaimanapun merampas semula kapal berkenaan pada Julai susulan permohonan rasmi berhubung bantuan perundangan dari Amerika Syarikat.

Polis Indonesia berkata, pihaknya akan memulangkan kapal berkenaan kepada Malaysia, tetapi tidak memberitahu bila akan berbuat demikian.

‘Kapal itu akan diserahkan di sempadan perairan Malaysia-Indonesia,” kata timbalan ekonomi dan jenayah khas, Daniel Silitonga kepada Reuters.

Beliau berkata, kapal berkenaan pada masa kini berada di perairan berhampiran dengan Singapura - Indonesia, berhampiran Batam.

Sumber memberitahu Reuters bahawa keputusan untuk memulangkan kapal itu susulan permohonan secara peribadi dikemukakan oleh Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad .

Bagaimanapun, usaha Reuters untuk mendapatkan komen Dr Mahathir tidak berhasil.

Dr Mahathir sebelum ini mengunjungi Indonesia pada

Jun, lawatan rasmi pertamanya selepas menewaskan Datuk Seri Najib Razak dalam pilihan raya umum lalu.

1MDB, adalah tumpuan kepada siasatan pengubahan wang di sekurang-kurangnya enam negara termasuk Amerika Syarikat, Switzerland dan Singapura.

Sejumlah kira-kira AS$4.5 bilion didakwa diselewengkan oleh pegawai kanan tinggi dana berkenaan, demikian menurut saman sivil DOJ.

Najib sudah berulang kali menafikan salah laku. Low Jho Taek atau Jho Low pula dilihat sebagai individu utama dalam kes itu.

Berdasarkan saman sivil itu, Jho Low menggunakan wang yang diseleweng dari IMDB untuk memperoleh Equanimity, kapal sepanjang 91 meter (m) yang berdaftar di Cayman Islands.

Dalaman kapal itu dikatakan dihiasi dengan daun emas dan mamar, spa, dan sauna, kolam renang 20 m di dek, panggung wayang, lif dan helipad.

Lokasi Jho Low sehinga sekarang tidak dapat dikenal pasti dan pihak berkuasa Malaysia sudah membatalkan pasport ahli perniagaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Ogos 2018 @ 5:29 PM