MOHD Noor menunjukkan proses pembuatan mesin Erek Giri di bengkelnya Kampung Pulau Kerengga. FOTO Ghazali Kori
Helmy Abd Rahman dan Malik Muhamad
cnews@nstp.com.my

Marang: Dia hanya nelayan biasa namun hasil rekaannya boleh disifatkan bertaraf dunia.

Itulah kehebatan Mohd Noor Sidek, 59, yang menghasilkan mesin khas automatik bagi memudahkan nelayan menangkap ikan tenggiri.

Mohd Noor yang lebih mesra disapa Pok No berkata, alat yang dipanggil mesin Erek Giri itu memudahkan pemancing menangkap tenggiri, malah kebarangkalian untuk ikan yang memakan umpan terlepas amat tipis berbanding kaedah trolling menggunakan joran.

“Kalau ikan dah sangkut, boleh dikatakan 90 peratus akan berjaya dibawa naik ke atas bot. Biasanya pada musim tenggiri, mesin ini boleh menaikkan paling kurang tiga atau empat ekor, malah ada yang pernah menaikkan hampir 20 tenggiri.

“Mesin ini boleh digunakan secara manual atau tarik secara automatik yang sesuai digunakan nelayan berusia supaya tidak penat,” katanya di bengkelnya di Pulau Kerengga di sini.


PROSES pembuatan mesin Erek Giri. FOTO Ghazali Kori

Menurutnya, mesin Erek Giri dihasilkannya kira-kira 20 tahun lalu dan melalui banyak evolusi sebelum rekaan terkini yang digunakan sekarang.

“Dulu rekaannya tidak seperti sekarang, saiznya juga besar seperti piring engkol basikal, tetapi saya buat penambahbaikan sehinggalah terhasil mesin automatik ini.

“Mudah saja nak digunakan dan kita boleh tahu umpan sudah dimakan sebab mesin ini akan berbunyi. Malah ia juga ada alat yang boleh digunakan untuk menyusun tali. Walaupun ada ikan jenis lain yang sangkut, tetapi paling banyak ialah tenggiri,” katanya.

Menurut Mohd Noor, dia mengambil masa 20 hari untuk menyiapkan satu mesin.

“Setiap satu mesin saya jual dengan harga RM1,800 untuk yang automatik manakala jenis manual saya jual RM1,500 seunit.

“Sejak 20 tahun lalu, saya dah jual lebih 100 mesin. Saya tidak meletakkan harga yang terlalu tinggi kerana niat asal hanyalah untuk membantu nelayan setempat,” katanya.


MESIN Erek Giri boleh digunakan secara manual atau automatik untuk menaikkan ikan. FOTO Ghazali Kori

Bapa kepada empat anak itu berkata, dia tidak keberatan jika ada syarikat berminat mengkomersialkan rekaannya pada masa depan.

Pengguna mesin berkenaan, Muhammad Yasir Alimi, 25, dari kampung Pantai Gong Balai, Marang berkata, sejak dia menggunakan alat itu lapan tahun lalu, jumlah tangkapan bertambah berbanding kaedah lama.

“Pernah saya mendapat 19 ikan tenggiri seberat purata empat kilogram seekor dalam sehari. Saya berpendapat mesin yang dibuat sendiri Pok No berbaloi,” kata Yasir yang menjadi nelayan sejak berusia 18 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Ogos 2018 @ 5:37 AM