MAYAT mangsa dibawa keluar dari bangunan itu. FOTO Aswadi Alias
Hasbi Sidek
cnews@nstp.com.my


POLIS mengklasifikasikan kes kebakaran yang menyebabkan seorang wanita maut dan tiga lelaki cedera di Jalan Sentul, Kampung Kovil Hilir, Kuala Lumpur, malam tadi sebagai kes bunuh dan berunsur khianat.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim.

Beliau berkata, hasil siasatan awal, pihaknya mendapati berlaku perselisihan faham antara salah seorang mangsa cedera dengan mangsa yang maut.

“Salah seorang mangsa yang tercedera dalam kejadian ini sudah ditahan polis. Dia yang berusia 33 tahun dikenal pasti sebagai suspek yang bertanggungjawab memulakan kebakaran.

“Kami percaya berlaku perselisihan faham antara suspek dengan mangsa yang maut dalam kejadian ini. Sebelum kejadian mereka dikatakan berjumpa di premis berkenaan," katanya ketika sidang media sejurus Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Wangsa Maju dan Pengerusi PERKEP Ibu Pejabat Daerah (IPD) Wangsa Maju, di IPD itu, hari ini.

NSTP malam tadi melaporkan seorang dikhuatiri maut dan sekurang-kurangya tiga cedera selepas sebuah bengkel motosikal di Jalan Sentul terbakar.

Tiga individu yang berada dalam bengkel termasuk seorang lelaki warga Pakistan melecur dalam kebakaran itu yang dipercayai bermula di bahagian bawah rumah kedai tiga tingkat itu.

Mazlan berkata, suspek yang juga pembekal aksesori motosikal kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) selain dua mangsa berusia 29 dan 46 tahun yang turut cedera termasuk seorang warga Pakistan dirawat di hospital sama.

"Hasil siasatan polis mendapati suspek mencurahkan petrol ke badan mangsa yang berusia 51 dan memulakan kebakaran. Kita membuka siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Wanita ditemui rentung

Seorang dikhuatiri maut, bengkel motosikal terbakar [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Ogos 2018 @ 12:34 PM