Wawa dan suami, Aeril Zafrel. FOTO HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


PELAKON Wawa Zainal bersyukur dipertemukan suami pelakon, Aeril Zafrel yang disifatkan baik dari segi pegangan agama dan pertuturan.

Wawa, 27, atau Nur Hawa Zainal Abidin berkongsi perkara itu di Instagram bagi menjawab pertanyaan peminat mengenai tips kebahagiaan rumah tangga.

"Saya sangat bersyukur dengan apa dimiliki sekarang. Diakui, saya gembira dengan kehidupan ini apatah lagi mempunyai suami yang baik agama dan perkataannya.

"Sejujurnya, selama hampir tujuh tahun berkahwin baru setahun ini kami harmoni dan tidak bergaduh. Kalau dulu, ada saja perkara membuatkan kami bergaduh. Mungkin ketika itu saya belum matang dan selalu cari fasal.

"Saya bertuah kerana Aeril banyak bersabar dengan perangai 'harimau' saya. Tetapi, saya belajar macam mana mahu menghargainya hingga tidak menjadi 'harimau jadian' lagi," katanya.

Wawa juga mendedahkan, rezeki murah dan bertambah apabila kehidupan rumah tangga harmoni.

"Sejujurnya, saya menyesal cari gaduh dengan dia. Kalau dari dulu harmoni, mungkin kami sudah kaya raya sekarang.

"Apa boleh dikatakan, rezeki murah apabila rumah tangga harmoni," katanya.

Dalam masa sama, Wawa menasihati kepada pasangan baru berkahwin supaya mengelakkan pergaduhan dalam rumah tangga.

"Bahagia itu besar maksudnya, tetapi bagi saya apabila wujud persefahaman dengan pasangan dan tidak bergaduh, itulah kebahagiaan sebenar.

"Kepada yang baru berkahwin, jangan suka cari fasal dengan suami. Macam sekarang, saya selalu latih dan ingatkan diri sendiri supaya tidak mengeluarkan kata-kata yang boleh mengguris hati suami. Cukuplah apa yang pernah dibuat dulu.

"Saya percaya setiap kali terguris hati suami berkurangan satu rezeki. Cuba praktikkan setahun dengan tidak bergaduh sebaliknya bahagiakan pasangan, pasti rezeki murah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 1:47 PM