PEMANDU kereta meletakkan kenderaan dipetak parkir kenderaan berat di kawasan R&R menjadi punca pemandu lori parkir di tepi jalan. FOTO NSTP
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Tindakan pemandu kereta meletakkan kenderaan mereka di kawasan parkir untuk kenderaan berat menyukarkan lori dan bas berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R).

“Perkara ini dikenal pasti antara punca menyebabkan pemandu lori meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan berikutan tempat parkir disediakan penuh,” kata Presiden Persatuan Pemandu Lori dan Bas Perak Abdullah Hashim.

Menurutnya, hasil pemantauan susulan aduan diterima pihaknya mendapati kebanyakan petak parkir untuk kenderaan berat di beberapa R&R dan hentian sebelah terutama di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) digunakan oleh pemandu kereta.

Abdullah berkata, pemandu kereta sepatutnya meletakkan kenderaan masing-masing di petak parkir yang disediakan untuk mereka.

Berikutan itu beliau berharap pengguna kenderaan ringan lebih peka mengenai hal itu kerana tindakan mereka hanya akan menyulitkan pemandu lori dan bas yang berhenti untuk berehat, makan serta ke tandas.

Beliau berkata, sebagai langkah susulan pihaknya sudah maklumkan permasalahan itu kepada syarikat konsesi lebuh raya yang menguruskan kawasan R&R dan hentian sebelah.

“Syarikat konsesi perlu memainkan peranan dalam menyelesaikan masalah ini. Contoh mereka kena sediakan petugas untuk pastikan kereta tidak diparkir di petak disediakan untuk kenderaan berat.

“Lebih sulit kalau perkara ini berlaku pada waktu malam berikutan itu pemandu lori memakir kenderaan mereka di bahu jalan yang boleh membahayakan pengguna lebuh raya lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.

KENDERAAN berat tiada tempat parkir. FOTO NSTP

Khamis lalu Harian Metro melaporkan tindakan pemandu kenderaan berat itu yang meletakkan lori atau treler di tepi jalan untuk berehat boleh mengundang malapetaka kepada pengguna jalan raya lain.

Antara paling berisiko adalah penunggang dan pembonceng motosikal yang tidak menyedari kehadiran berat kenderaan itu apalagi jika berwarna gelap dan tiada pemantul cahaya.

Tinjauan dilakukan oleh wartawan di laluan (PLUS) dari Kuala Lumpur ke Tanjung Malim, Perak di kedua-dua hala mendapati ada pemandu lori meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan berdekatan susur masuk di beberapa hentian R&R yang terdapat di sepanjang laluan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Julai 2018 @ 9:26 AM