RASHIDAH (kanan) menenangkan Azlina yang sedih apabila teringat anak menghidap cerebral palsy yang ditinggalkan di kampung.
Tuan Asri Tuan Hussein

PADA mulanya dia bertutur tenang dan lancar, melahirkan kesyukuran yang amat sangat kerana dipilih menjadi tetamu Allah bagi musim haji tahun ini.

Namun, suara Azlina Ayob, guru dari Kuala Selangor, tiba-tiba tersekat-sekat, sebak sebelum dia tidak mampu lagi membendung air mata daripada terus mengalir.

"Perancangan Allah itu memang indah," katanya sambil menahan kesedihan dek kerinduan mendalam terhadap anak lelakinya berusia 15 tahun yang menghidap penyakit cerebral palsy (CP) yang terpaksa ditinggalkan di tanah air.

Azlina, 46, berkata, anak istimewanya itu kini di dalam jagaan empat bekas anak muridnya yang secara kebetulan dalam cuti semester pengajian di universiti masing-masing.

Ibu kepada lima anak itu ditemui ketika wartawan mengikuti sesi ziarah silaturahim Unit Bimbingan dan Kaunseling Tabung Haji (TH) di Maktab 75 Hotel Abraj Al-Janadriyah, Makkah dengan diketuai Pengurus Kaunseling Rashidah Ahmad.

Azlina berkata, jika tidak disebabkan keprihatinan empat bekas anak muridnya itu, mungkin dia, suami dan seorang perempuannya yang juga anak sulung tidak dapat menunaikan ibadat haji kali ini.

"Saya hampir tak jadi datang buat haji kali ini sebab tak sampai hati nak tinggalkan anak istimewa saya itu. Dia dilahirkan menghidp CP sejak kecil dan sentiasa perlukan perhatian.

"Dia tak boleh jalan, tak boleh berckap dan tak boleh buat aktiviti apapun sendirian. Selain itu, saya ada tiga lagi anak yang masih kecil. Jadi, saya buntu memikirkan siapa yang nak jaga mereka semua kalau saya pergi buat haji," katanya.

Menurut Azlina, dia kemudian sekadar berkongsi perasaan dan kebuntuan itu dengan bekas anak murid yang masih kekal berhubung dengannya dan tak sangka pula mereka sanggup memikul tanggungjawab itu.

"Syukur kepada Allah SWT. Benar sangatlah, perancangan Allah itu terbaik. Kini empat anak murid perempuan saya itu bergilir-gilir menjaga anak saya di rumah saya tanpa sebarang bayaran. Saya benar-benar tersentuh," katanya.

Sementara itu, Rashidah berkata kes seperti Azlina adalah contoh bagaimana aktiviti ziarah silaturahim yang dilakukan pihaknya mampu mencungkil permasalahan jemaah haji.

"Alhamdulilah, jemaah kini ramai yang bersikap terbuka. Mereka sedia berkongsi masalah. Menjadi tanggungjawab kami untuk membantu mereka. Kalau ada masalah macam mana nak fokus kepada ibadat," katanya.

Turut mengiringi Rashidah dalam ziarah silaturahim itu ialah dua Petugas Kaunseling Muhammad Izuddin Ghazali dan Siti Nordarma Ab Rahman.


MUHAMMAD Izuddin (kanan) memberi bimbingan kepada jemaah haji ketika sesi ziarah silaturahim.

Wartawan sempat melihat Siti Nordarma tanpa kekok memberikan nasihat kepada seorang jemaah wanita sejurus didekati ketika berjalan di koridor tingkat lapan Maktab 74.

Rashidah berkata, tujuh kaunselor di bawah unit itu bertanggungjawab memberi nasihat dan bimbingan kepada jemaah haji dalam pelbagai aspek, termasuk soal mendapatkan talian telekomunikasi untuk mereka menghubungi ahli keluarga.

"Biarpun perkara itu nampak kecil, itulah yang menjadai keutamaan kebanyakan jemaah sebaik saja tiba di Tanah Suci. Masing-masing sibuk nak hubungi kekuarga di Malaysia, bila tak dapat, mereka mengadu kepada kami," katanya.

Menurutnya, pelbagai pendekatan digunakan pihaknya untuk memberi khidmat nasihat termasuk membuat kunjungan dari bilik ke bilik, sesi kaunseling secara indvidu atau berkumpulan dan menerima kehadiran jemaah secara 'walk in.'

Beliau berkata, aspek ditekankan ialah pengurusan emosi, penyesuaian dengan rakan sebilik, urusan kendiri termasuk menepati masa dan paling penting ialah fokus terhadap tujuan utama ke sini iaitu untuk beribadat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Julai 2018 @ 12:37 PM