TENGKU Emma menziarahi keluarga Rohingya di kem pelarian di Teknaf. FOTO NSTP
Mohd Firdaus Ibrahim
firdaus_ibrahim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Melihat wanita Rohingya mengendong bayi maut dan kegagalan membantu 3,000 etnik berkenaan yang terkandas di Sungai Naf di sempadan Bangladesh-Myanmar menjadi pengalaman pahit buat Duta Majlis Rohingya Eropah (ERC) ke Malaysia, Tengku Emma Zuriana Tengku Azmi sepanjang bergelar aktivis sukarelawan.

Menurutnya, pelbagai pengalaman pahit dilaluinya sepanjang membela nasib etnik Rohingya.

“Saya ditohmah masyarakat yang mendakwa melebihkan bangsa lain daripada rakyat negara ini.

“Tohmahan itu perkara biasa, tetapi paling memeritkan apabila saya saksikan sendiri seorang ibu etnik Rohingya yang mengendong bayi maut sebaik berjaya menjejakkan kaki ke Langkawi, Kedah.

“Anda bayangkan selepas wanita itu mengharungi perjalanan memeritkan menggunakan kapal yang penuh sesak untuk lari daripada kekejaman kerajaan Myanmar, dia maut sebaik berjaya melakukannya,” katanya.

Menurutnya, kegagalan dia membantu 3,000 pelarian Rohingya yang terkandas di Sungai Naf turut menghantuinya hingga kini.

“Ketika itu, saya dan rombongan berada di Teknaf sebelum mengetahui sekumpulan pelarian terkandas di Sungai Naf. Usaha bagi melicinkan kemasukan mereka ke Bangladesh segera dilakukan.

“Usaha itu bagaimanapun sia-sia apabila pihak berkuasa Bangladesh mengesan ada ahli sindiket pengedaran dadah cuba menyusup masuk bersama pelarian. Sudahnya 3,000 pelarian berkenaan termasuk wanita dan kanak-kanak dihalang masuk ke kem pelarian di Bangladesh,” katanya.

Ditanya pembabitannya dalam badan bukan kerajaan (NGO), Tengku Emma berkata, dia mula aktif sejak 2012.

“Mulanya saya tidak ikut mana-mana NGO secara tetap. Di mana saja ada ruang untuk saya berbakti, saya akan curahkan tenaga.

“Saya pernah ikut NGO seperti Persatuan Menangani Gejala Sosial Malaysia, Pertubuhan Solidariti Madani Malaysia, International Flotilla 2 Arakan, Yayasan Salam Rohingya dan kini bersama ERC,” katanya.


ROMBONGAN ERC yang menghantar bantuan makanan dan perubatan kepada masyarakat Rohingya di kem pelarian Teknaf. FOTO NSTP

Memperincikan peranannya di ERC, Tengku Emma berkata, tugasnya adalah bekerjasama dengan semua pihak sama ada kerajaan mahupun swasta bagi menjaga kebajikan etnik Rohingya di Malaysia dan peringkat antarabangsa.

“Tugas ini mencakupi bidang yang membabitkan perubahan polisi dan perlindungan ke atas etnik Rohingya serta memainkan peranan dengan memberikan kesedaran awam mengenai situasi sebenar dihadapi etnik berkenaan.

“Ia termasuk mencari dana untuk bantuan kemanusiaan, perubatan dan pendidikan,” katanya.

Menurutnya, matlamat perjuangannya hanyalah ingin melihat etnik Rohingya hidup bahagia seperti orang lain.

“Sudah terlalu lama mereka menderita akibat ‘status tanpa negara’.

“Status ini menyebabkan mereka tidak dilindungi undang-undang secara keseluruhan, terdedah kepada bahaya seperti sindiket pemerdagangan manusia, perkahwinan kanak-kanak, pemerasan dan penipuan,” katanya.

Tengku Emma yang lebih gemar disapa sebagai Kunna berkata, bergelar aktivis wanita sebenarnya sangat sukar.

“Namun, saya pekakkan telinga dan fokus kepada sasaran iaitu membantu etnik Rohingya. Selagi sokongan kuat diberikan suami, anak dan keluarga, saya akan terus aktif berjuang untuk mereka yang sudah lama dinafikan hak. Moga Allah bantu segala perjuangan ini.

“Saya nasihatkan wanita yang membabitkan diri atau mahu menjinakkan diri dalam NGO dan misi kemanusiaan, betulkan niat serta terus bergerak ke sasaran dengan usaha berterusan. Insya-Allah, anda pasti berjaya,” katanya.


KANAK-kanak Rohingya yang dapat melarikan diri daripada kekejaman junta Myanmar. FOTO Ihsan Tengku Emma Zuriana Tengku Azmi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Julai 2018 @ 9:44 AM