Hasbi Sidek
cnews@nstp.com.my


ANGGOTA polis bantuan sebuah agensi kerajaan antara 10 ahli sindiket pengedaran dadah yang ditahan dalam serbuan di Ampang, kelmarin.

Ia susulan penemuan 156 kilogram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai 7.8 juta dalam Toyota Hilux di tempat letak kereta sebuah pasar raya di lokasi sama.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, kesemua 10 lelaki tempatan berusia antara 25 hingga 46 tahun ditahan dalam operasi dengan kerjasama Suruhanjaya Kawalan Dadah Kebangsaan China (NNCC).

“Hasil operasi, kami menahan 10 lelaki tempatan disyaki ahli sindiket dan merampas 156 kilogram syabu dengan nilai dianggarkan RM7.8 juta.

“Salah seorang daripada suspek didapati positif dadah jenis syabu. Kesemua tangkapan tidak mempunyai rekod jenayah," katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, hari ini.


DADAH jenis syabu yang dirampas polis. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Katanya, polis turut dirampas sejumlah wang tunai, jam tangan, barang kemas dan dua kenderaan jenis Toyota Alphard serta Mercedes Benz CLS 350.

“Kami mendapati salah seorang daripada ahli sindiket bertugas sebagai polis bantuan di sebuah jabatan kerajaan. Semua suspek kini direman sehingga 28 Julai depan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952

“Kita percaya dadah berkenaan diseludup masuk dari negara jiran di Utara untuk dipasarkan di negara ini selain untuk pasaran antarabangsa dengan menjadikan Malaysia sebagai lokasi transit,” katanya.

Akhbar NSTP hari ini mendedahkan, sindiket pengedaran dadah menjadikan kawasan parkir pusat beli-belah sebagai lokasi transit sementara untuk menyimpan dadah bernilai jutaan ringgit sebelum diseludup ke luar negara.

Kegiatan sindiket didalangi warga tempatan itu dibongkar apabila polis merampas sejumlah dadah syabu dianggarkan bernilai lebih RM7 juta hasil serbuan di kawasan parkir terbabit.

Dadah berkenaan yang diseludup masuk ke negara ini dipercayai berasal dari Myanmar.

Berita berkaitan

Dadah parkir RM7j

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Julai 2018 @ 3:09 PM
MOHMAD (tengah) menunjukkan rampasan dadah jenis syabu berjumlah RM7.8 juta pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, hari ini. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali