Fahmy Azril Rosli dan Nur Lela Zulkipli
cnews@nstp.com.my


TUN Dr Mahathir Mohamad menegaskan, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan dilaksanakan 1 September depan tidak akan membebankan rakyat.

Perdana Menteri berkata, ini disebabkan kerajaan dapat 'menyelamatkan' kutipan cukai sebanyak kira-kira RM20 bilion dengan melaksanakan SST.

“SST memang kurang membebankan rakyat kerana dari jumlah (kutipan) kita boleh tahu GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) memungut RM42 bilion.

“(Kutipan) SST sampai RM25 bilion sahaja. Jadi, rakyat diselamatkan RM20 bilion kerana melaksanakan SST,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kepemimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Yayasan Selangor, hari ini.

Mengulas lanjut pelaksanaan SST, Perdana Menteri menegaskan, dakwaan SST naik harga adalah tidak benar dan tiada asas.

Beliau berkata, SST bukan dikenakan sebanyak 16 peratus seperti dakwaan sesetengah pihak.

“Caj 10 peratus (SST) ada barang tertentu tidak kena SST.

“Banyak benda dahulu dikenakan cukai GST sekarang tidak dikenakan SST.

“Maknanya, sekali lagi rakyat akan tanggung beban yang ringan (dengan pelaksanaan SST)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 8:12 PM