UNDIAN yang dijalankan menerusi Twitter @bharianmy dan @hmetromy. FOTO NSTP
Meor Riduwan Meor Ahmad
mriduwan@nstp.com.my


MAJORITI responden pelayar maya tidak memahami perbezaan antara Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Keputusan itu diperoleh hasil tinjauan pendapat dalam talian di Twitter akhbar kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) iaitu BH dan Harian Metro (HM) serta Facebook Harian Metro selama 24 jam.

Tinjauan bertajuk "Adakah Anda Faham Perbezaan SST dan GST" dengan pilihan jawapan ya atau tidak.

Undian itu mula dibuka sejak 9.17 pagi di Twitter @bharianmy, dan 10.46 pagi (@hmetromy) semalam.

Menerusi Twitter @bharianmy, seramai 385 orang atau 46 peratus daripada 836 responden menyatakan mereka faham perbezaan GST dan SST, manakala 451 lagi tidak faham.

Di Twitter @hmetromy pula, seramai 954 responden menyertai tinjauan pendapat berkenaan dengan 36 peratus atau 343 orang faham perbezaan kedua-dua cukai, dan 611 lagi menyatakan tidak faham.

Dalam pada itu, di Facebook Harian Metro pula menerima undian daripada 7,700 orang pengguna.

Seramai 3,388 orang responden atau 44 peratus faham perbezaan antara SST dan GST, sementara 56 peratus lagi (4,312) masih tidak memahaminya. Tinjauan ini turut menerima 157 komen daripada pengguna Facebook.

Seorang daripadanya, Norain Mujib menyatakan pihak berwajib perlu memantau kenaikan harga barang biarpun GST sifar dikenakan.

"Saya perasan satu sahaja masa mula-mula GST sifar, harga barang punyalah murah tapi sejak kebelakangan ni, syarikat sewenang-wenangnya naikkan harga barang sampai mencecah RM3 daripada harga asal. Tiadakah yang hendak tolong pantau? Hari itu kata ada orang nak pantau," katanya.

Menurut Fa Ka pula, pihak berwajib termasuk Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDNK) perlu memberikan penjelasan tuntas mengenai kedua-dua sistem cukai itu.

"Terdapat banyak contoh pengiraan GST & SST di laman sosial membuatkan segelintir masyarakat keliru. Harap pihak seperti MOF atau KPDNK sendiri dapat beri penerangan yang lebih jelas bagaimana perbezaan cukai ini dilaksanakan dari pihak pengilang atau pengeluar hingga ke pengguna akhir. Terima kasih," katanya.

Semalan, Ketua Pengarah Kastam Malaysia Datuk Seri Subromaniam Tholasy memaklumkan, majoriti barangan akan dikenakan sifar cukai di bawah sistem SST yang akan diperkenalkan kerajaan mulai 1 September depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Julai 2018 @ 5:06 PM