REMAJA itu melambai kepada orang ramai yang menyambut kedatangan mereka untuk menghadiri sidang media di Chiang Rai semalam. FOTO Reuters
Agensi

Chiang Rai: “Saya takut dimarahi ibu sekiranya tidak dapat pulang ke rumah,” itulah kata seorang remaja yang diselamatkan terperangkap bersama 12 lagi rakannya lebih dua minggu di dalam sebuah gua yang dibanjiri air di utara Thailand.

Dua belas remaja itu bersama jurulatih bola sepak mereka memberitahu, mereka juga cuba menggali terowong untuk mencari jalan keluar dan minum titisan air hujan untuk terus hidup.

“Kami cuba menggali terowong untuk mencari jalan keluar kerana kami tidak boleh menunggu pasukan penyelamat tiba.

“Kami juga minum air hujan yang menitis untuk terus hidup,” kata jurulatih itu, Ekkapol Chantawong dalam satu sidang media di sini, semalam selepas dibenarkan keluar dari hospital.

Kumpulan itu masuk ke gua Tham Luang pada 23 Jun lalu tetapi terperangkap akibat banjir sebelum ditemui selamat oleh dua penyelam Britain sembilan hari kemudian.

Semua pelajar berusia 11 hingga 16 tahun dan jurulatih berusia 25 tahun itu diselamatkan dalam satu operasi selama tiga hari membabitkan kumpulan penyelam antarabangsa bermula 8 Julai lalu.

Ekkapol memberitahu, mereka bersetuju untuk masuk ke gua itu selepas latihan bola sepak sempena sambutan ulang tahun kelahiran seorang anggota pasukan berkenaan yang dikenali sebagai Nite.

“Kami tidak pernah masuk ke gua itu dan hanya membaca mengenainya di Facebook,” jelasnya.

Tambahnya, mereka seperti tidak percaya apabila melihat dua penyelam Britain itu muncul dari air dan menganggap detik itu sebagai sesuatu yang menakjubkan.

“Ia satu keajaiban,” kata Adul Sam-on, 14, remaja yang dilihat dalam satu rakaman video bercakap dengan penyelam Britain itu dalam bahasa Inggeris.

Semua pelajar itu dibenarkan pulang ke rumah masing-masing semalam dan pihak berkuasa meminta media menghormati serta tidak mengganggu mereka buat masa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Julai 2018 @ 9:10 AM