ERRA Fazira dan Shahir. FOTO NSTP
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


PELAKON Erra Fazira kelmarin tampil bersama bintang Akademi Fantasia, Ahmad Shahir Zawawi, di Instagram secara langsung bagi menjelaskan kekeliruan berlaku membabitkan kenyataan diberikan sebelum ini.

Kata Erra ketika ditemui, hari ini, dia mengambil tindakan itu selepas kenyataan Shahir yang dikatakan bersedia untuk bernikah dan menjadi bapa segera kepada anak tunggalnya Engku Aleesya, pada tahun hadapan disiarkan.

“Kenyataan itu disiarkan pada Sabtu lalu, dan sehari sebelum itu saya bertemu dengan rakan media di majlis rumah terbuka syarikat pengurusan saya dan mereka bertanyakan mengenai perkara sama.

“Jujur memberi kenyataan, saya menjelaskan setakat ini belum ada apa-apa perkembangan membabitkan hubungan kami selain berkawan rapat. Kehadiran keluarga Shahir ke rumah saya pada Syawal lalu adalah kunjungan biasa. Tidak berlaku majlis merisik dan bertunang,” katanya.

Bagaimanapun apabila kenyataan Erra pula disiarkan, dan ditambah ada artikel disiarkan menggunakan tajuk utama ‘Erra belum bersedia’, ia dilihat bercanggah.

“Saya faham ramai pihak yang keliru dengan perkara itu. Sedangkan apa yang saya nyatakan itulah kenyataannya. Tapi apabila satu pihak didakwa berkata sudah bersedia dan satu pihak lagi dikatakan belum bersedia ia seakan seperti kami mempermainkan umum dan cuba bertarik-tali,” katanya.

Mengelak daripada timbul salah faham dan dikecam peminat kemudian hari, Erra mengambil keputusan untuk menjelaskan apa yang telah berlaku sebenarnya.

“Shahir sendiri turut menjelaskan, kenyataan diberikan selepas diterjah wartawan dan berada dalam situasi tidak bersedia. Begitupun dalam memastikan menjawab soalan dan waktu sama tidak menimbulkan rasa sensitif pihak lain, Shahir cuba memberikan jawapan positif,” katanya.

Kata Erra lagi, bagaimanapun penampilannya bersama Shahir itu bukan dirancang sebaliknya kebetulan selepas bertemu dan membincangkan mengenai kenyataan diberikan.

“Sudah tahu kedudukan sebenar, saya dan Shahir berasakan perlu dan bertanggungjawab untuk membetulkan kembali situasi dan salah faham berlaku.

“Bagaimanapun, seperti yang sudah berkali-kali saya katanya, dan masih jawapan sama. Kami masih lagi berkawan dan tiada perancangan bertunang dan bernikah dibuat setakat ini. Saya dan Shahir juga tidak pernah menyembunyikan keakraban,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 5:26 PM