PUTIH (tengah) menunjukkan jaket keselamatan yang digunakan dalam kejadian bot terbalik sebelum diselamatkan Muhamad Rahmat (kanan) dan Zaidi di Pantai Puteri. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@nstp.com.my

Melaka: Tiga nelayan, termasuk dua beranak hanya mampu berdoa sepanjang lebih lima jam terapung di tengah laut dengan harapan bot dinaiki mereka yang terbalik dipukul ombak besar malam kelmarin, tidak karam.

Pengalaman cemas itu dilalui Putih Dagang, 59, bersama anak lelakinya, Muhamad Nasir, 22, dan anak saudara dikenali sebagai Hasan, 23, ketika keluar menangkap ikan jam 5.30 petang.

Kejadian itu berlaku pada jarak 9.9 batu nautika dari Pantai Puteri di sini, sebelum ketiga-tiga mereka ditemui nelayan lain jam 4.30 pagi semalam.

Putih berkata, bot fiber sepanjang 8.2 meter yang dinaiki mereka dilambung ombak jam 11 malam menyebabkan dia dua beranak dan anak saudaranya memanjat dan berdiri di belakang bot yang terlungkup dalam keadaan terapung itu.

“Pada waktu itu, saya keletihan dan hanya mampu berdoa supaya kami bertiga diselamatkan atau berlaku sebaliknya ke atas kami.

“Sebelum kejadian, kami menaikkan 50 pukat sebelum bot terbalik dipukul ombak. Ketika itu, saya hanya bergantung pada lampu suluh sambil menenangkan anak dan anak buah (anak saudara).

“Mereka berdua tidak tahu apa yang bermain di dalam fikiran saya, kebimbangan dan kerisauan, adakah akan ada orang datang menyelamatkan kami atau sebaliknya kerana telefon bimbit masing-masing jatuh ke dalam laut,” katanya ketika ditemui di Pantai Puteri, semalam.

LOKASI bot terbalik pada jarak 9.9 batu nautika dari Pantai Puteri. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber

Bagaimanapun, Muhamad Nasir dan Hasan tidak dapat ditemu bual kerana masing-masing berehat di rumah akibat kepenatan.

Putih berkata, mereka bertiga tidak menyangka akhirnya diselamatkan rakan nelayan pantai lain menggunakan bot fiber sepanjang 9.7 meter selepas kejadian itu berlaku.

Katanya, sebaik suluhan lampu picitnya berbalas, dia mula gembira, sebelum terjatuh ke dalam laut dan kembali naik semula ke atas bot yang terbalik.

“Apabila empat rakan nelayan terbabit menghampiri bot kami, saya bersyukur kepada Allah SWT kerana doa kami didengar oleh-Nya.

“Apa tidaknya, sebaik kami bertiga berada di dalam bot yang datang menyelamat, bot kami terus karam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 9:42 AM