LARA Alana.
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my

Populariti dikecapi pasangan suami isteri, Scha Alyahya dan Awal Ashaari turut dirasai puteri sulung mereka, Lara Alana, 4.

Tidak dinafikan sejak Lara dilahirkan, dia begitu disayangi semua orang, malah ramai beranggapan populariti Lara kini mengatasai ibu bapanya.

Menurut Scha, 35, Lara yang membesar dalam keluarga seni dilihat cenderung ke arah itu hingga menyatakan hasrat menjadi pelakon apabila dewasa nanti.

“Baru-baru ini, saya mengambil Lara pulang dari sekolah. Dalam perjalanan, saya terdengar perbualan bersama rakannya, Aleesya yang memaklumkan ingin menjadi doktor. Lara pula memberitahu dia ingin menjadi pelakon seperti saya. Ketika itu saya terus tidak terkata.

“Sebelum ini dia tidak pernah cakap pun. Mungkin sejak kebelakangan ini dia suka tengok orang berlakon dan saya disolek membuatkan dia bercakap sebegitu.

Apatah lagi, Lara sekarang suka bermain alat solek dan menyolek diri sendiri. Pendek kata, dia nak melawa dan bergaya saja.

“Lagi satu, mungkin Lara mengidolakan saya dan Awal. Jadi, dia ingin menjadi seperti kami. Bagi saya, itu adalah maklum balas anak yang sedang membesar. Malah, beberapa hari lalu saya tanya Lara lagi, kalau besar nak menjadi apa, dia jawab ingin menjadi guru,” katanya.

Selain bijak bergaya, Scha berkata, Lara juga mudah memberi maklum balas terhadap muzik, drama dan filem.

“Saya boleh katakan, Lara memang sukakan seni. Dia suka mendengar muzik dan menonton drama atau filem. Kalau saya membacakan buku untuknya dia sangat memberikan perhatian. Apatah lagi, kalau saya berlakon berdasarkan apa dibaca, dia begitu teruja.

“Pernah sebelum ini dia menangis selepas mendengar lagu sedih. Lara memang jenis mudah tersentuh. Itu adalah reaksi spontan daripada dirinya. Saya bawa ke kelas tarian balet, dia tidak minat pula,” katanya.


LARA Alana bersama ibu bapanya.

Terharu dan bangga

Jika tahun lalu Lara menjayakan persembahan tarian Bollywood sempena Hari Kebudayaan anjuran sekolah, semalam Lara menari tarian tradisional Perancis.

Scha yang hadir bersama Awal meluahkan rasa bangga dan terharu melihat kesungguhan anaknya itu membuat persembahan bersama rakan lain di hadapan ibu bapa masing-masing.

“Dia sudah berlatih lama. Kalau di rumah dia buat sikit sikit langkah tarian itu. Pada mulanya, saya dan Awal tidak tahu tarian apa. Semalam, apabila dipersembahkan baru kami boleh faham.

“Sebagai ibu, saya berasa bangga dan terharu melihat perkembangannya. Apatah lagi, saya dapat lihat dia sangat yakin dan ‘enjoy’ dengan momen itu. Lara tidak malu berdepan dengan khalayak sebaliknya dia buat saja apa yang diajarkan.

“Ketika persembahan semalam, Lara seperti membawa kelab peminat kerana kami tidak henti bersorak sebab terlalu teruja,” katanya.

Pada masa sama, bersempena ulang tahun keempat Lara pada Ahad ini, Scha dan Awal sepakat tidak mengadakan majlis secara besar-besaran seperti tahun sebelumnya.

“Tahun ini sambutan tetap ada, tetapi kecil-kecilan saja. Ia lebih kepada acara bersama rakan sekolah. Kalau sebelum ini Lara diberikan hadiah, kali ini berbeza sebab Lara pula nak berkongsi kegembiraan kepada semua. Dalam erti kata lain, majlis ini kita nak buat apa yang Lara suka.

“Dari segi tema, kami memilih watak kesukaan Lara sekarang iaitu ikan duyung. Jadi, majlis mungkin diadakan di kawasan kolam renang,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 8:58 AM