ARIFF Bahran. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

Baru setahun menceburi bidang nyanyian, nama Ariff Bahran, 20, semakin jadi perhatian.

Single solonya berjudul Kata Akhirmu berjaya menambat hati pendengar muzik di negara ini.

Di YouTube pula, muzik video rasmi single itu sudah mencatat lebih 11 juta tontonan dalam tempoh tujuh bulan.

Mesra disapa Bahran, dia sangat bersyukur dengan populariti diraih kini.

“Saya amat berterima kasih kepada peminat yang banyak memberi sokongan terhadap Kata Akhirmu.

“Kini jadual saya sudah mula sibuk dan padat dengan tawaran menyanyi,” katanya.

Ditanya mengenai tekanan dirasai selepas popular, Bahran tidak menafikan perkara itu.

“Memang sedikit sebanyak terasa juga tekanan kerana terikat dengan jadual kerja yang agak padat.

“Apa pun, memandangkan sudah rezeki, saya yakin dapat melalui tekanan itu dengan sebaik mungkin. Saya juga yakin dengan sikap positif serta kuat fizikal dan mental, saya pasti dapat menghadapinya.

“Bagi saya, harus bijak membawa diri dalam industri hiburan supaya tidak dikaitkan dengan gosip dan kontroversi,” katanya.

Namun pemilik nama sebenar Muhammad Ariff Bahran Ahmad Azhari ini juga tidak terlepas dengan cerita sensasi.

Dua bulan lalu, timbul spekulasi perselisihan faham di antara komposer dan penulis lirik, Sang Hitam dan Bahran.

Ia gara-gara Bahran didakwa tidak memaklumkan namanya sebagai komposer dan penulis lirik bersama single Kata Akhirmu.

Tidak berselindung mengenainya, Bahran berkata, perselisihan itu sudahpun diselesaikan secara baik.

“Saya sudah bertemu dan memberi penjelasan kepada Sang Hitam perkara sebenar dan dia memahaminya.

“Kami juga sudah bermaafan di antara satu sama lain dan tiada lagi masalah yang timbul,” katanya.

Matang bertindak, Bahran berkata, dia menceburi bidang nyanyian kerana minat dan gembira kemunculannya diterima ramai.

Katanya, apa yang diinginkan kini semoga kerjaya seninya terus bersinar dan bakatnya kekal bertahan.

Sedar saingan sengit penyanyi Budak Baru Nak Up (BBNU), Bahran berkata, setiap orang ada kelebihan sendiri.


ARIFF Bahran. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman

Teliti rancang single kedua

Ramai penyanyi gagal mengekalkan kesinambungan populariti dalam single kedua, jadi Bahran amat berhati-hati.

Katanya, dia juga enggan mengalami nasib single kedua ‘tenggelam’ kerana tak mampu mengatasi yang pertama.

“Atas sebab itu, saya bersama syarikat rakaman masih lagi belum memutuskan lagu baru yang dipilih sebagai single kedua.

“Lagu sudah ada, cuma kami perlu lebih dulu sepakat membuat penilaian beberapa perkara. Antaranya, memastikan ia genre lagu yang sesuai termasuk dilancarkan pada masa yang betul.

“Kehendak pendengar sukar diramal, jadi sebagai penyanyi saya harus pastikan single seterusnya berkualiti,” katanya.

Ditanya tempoh masa disasarkan untuk melancarkan single kedua, Bahran berkata, mungkin hujung tahun ini.

“Untuk melancarkannya pada tahun depan, macam terlewat. Apa pun, saya akan pastikan tidak membuat keputusan terburu-buru.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Julai 2018 @ 8:58 AM