Erra (kiri) masih belum bersedia biarpun Shahir kata ok. FOTO MAHZIR MAT ISA/fail HM Digital
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


“KAMI masih berkawan tapi tiada perbincangan untuk melangkah ke fasa lain termasuk bertunang dan sebagainya lagi,” kata pelakon popular Erra Fazira.

Pelakon jelita itu berkata sebagai mengulas hubungannya dengan penyanyi Shahir Zawawi yang kembali hangat diperkatakan ramai ketika ini.

Menurut Erra, dia tidak pernah ada sebarang perancangan berkaitan hubungan bersama Shahir sepanjang persahabatan mereka.

“Tidak ada apa-apa lagi. Lagipun tidak manis untuk saya yang berkata-kata.

"Saya hanya berkawan dengannya dan belum sampai pada tahap keluarga untuk saling mengenali," katanya pada satu majlis rumah terbuka di Kuala Lumpur, malam tadi.

Ditanya sama ada dia bersedia untuk mencari bapa baru untuk anaknya, Engku Aleesya, Erra mengakui belum masanya lagi.

“Saya belum bersedia kerana tidak mempunyai sebarang komitmen dengan lelaki secara serius.

"Kalau tanya saya sama ada Aleesya boleh terima bapa baru atau tidak, kalau dia boleh terima emak baru, kena juga terima bapa baru,” katanya.

Kisah hubungan pasangan sensasi itu kembali diperkatakan ramai apabila Erra memuat naik video di laman sosial Tik Tok memaparkan dirinya bersama Shahir dan puterinya, Engku Aleesya, baru-baru ini.

Video itu kemudian tular dan dikongsi oleh netizen walaupun Erra sudah memadamkannya.

Mengulas mengenai video itu, kata Erra, dia tidak menyangka ia tular sedemikian

“Saya memuat naik rakaman di laman Tik Tok itu sekadar suka-suka saja,”katanya.

Berita berkaitan:Shahir sedia jadi 'bapa segera'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Julai 2018 @ 4:27 PM