Farah Marshita Abdul Patah
farahmarshita@nstp.com.my


PENGASUH Adam Rayqal Mohd Sufi didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang, hari ini, atas dua tuduhan menyebabkan kecederaan kepala dan melupuskan mayat mangsa, awal bulan ini.

Noor Aqilah Abd Rahman, 33, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Noor Aqilah sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif, lima bulan, didakwa menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kecederaan di kepala kanak-kanak berkenaan.


SUSPEK pengasuh wanita berusia 33 tahun yang juga suspek utama kes bayi lelaki Adam Rayqal Mohd Sufi berusia lima bulan ditemui mati di rumah pengasuh di Kampung Nakhoda, dibawa ke Mahkamah Sesyen Selayang untuk didakwa. FOTO Aswadi Alias

Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dia turut dituduh melupus mayat Adam Rayqal dengan niat menyembunyikan kematian mangsa supaya terlepas daripada hukuman dan didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun dan denda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 10:57 AM