PELAJAR membungkus pek makanan tengah hari sebelum diedarkan kepada pelanggan. FOTO NSTP
Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Isu berkaitan institusi tahfiz kini menjadi bualan hangat pelbagai pihak di negara ini.

Selama ini institusi itu kerap dilanda pelbagai isu hingga menimbulkan pelbagai persepsi negatif, malah ada pihak menyarankan tahfiz ditutup untuk menyelesaikan kemelut yang timbul.

Namun, ramai juga yang tidak tahu mengenai kejayaan tahfiz melahirkan huffaz bergelar usahawan yang menggunakan keuntungan perniagaan diperoleh untuk menampung perbelanjaan pusat tahfiz tanpa mengharapkan sumbangan luar.

Contoh terbaik Institut Tahfiz al-Quran lil-Muttaqin (Instaqlim) di Sungai Tekala, Semenyih, Selangor yang mengusahakan ternakan ikan air tawar dan pek makanan tengah hari sebagai inisiatif menjana pendapatan.

Keuntungan diperoleh hasil daripada jualan ikan air tawar dan tempahan makan tengah hari juga digunakan untuk menampung kos yuran bagi pelajar kurang berkemampuan.

Pengerusi Jemaah Pengurusan Instaqlim, Mohd Aliff Mohd Razuki mengakui jika mengharapkan sedekah atau sumbangan orang ramai semata-mata operasi tahfiz itu akan terbantut.

“Pelajar akan bungkus makanan sebelum dihantar oleh rider terus ke rumah atau pejabat pelanggan.

“Program ini dimulakan tahun lalu. Alhamdulillah sambutan diterima menggalakkan, sekali gus meneruskan kelangsungan tahfiz ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

INSTITUT Tahfiz al-Quran lil-Muttaqin mengedarkan pek makanan tengah hari sebagai inisiatif menjana pendapatan. FOTO NSTP

Beliau berkata, Instaqlim yang memulakan operasi lima tahun lalu memerlukan RM20,000 setiap bulan untuk membayar gaji, membiayai kos penyelenggaraan dan hal-hal pentadbiran lain.

“Jika mengharapkan bayaran yuran bulanan pelajar iaitu RM530 setiap seorang semata-mata, memang kami tak boleh nak beroperasi. Pelajar kami ada yang berasal daripada keluarga kurang berkemampuan dan anak yatim.

“Berikutan itu pihak pengurusan mengambil keputusan menggabungkan ilmu duniawi dan ukhrawi, sekali gus membantu kami menjana pendapatan sendiri,” katanya.

Menurutnya, pek makan tengah hari dipromosikan menerusi Facebook pusat tahfiz berkenaan iaitu
Nasi Campur Mai Makan dan Instagram, nasicampur_mai_sini.

Setakat ini pihaknya menerima tempahan sekitar 100 hingga 200 pek makan tengah hari setiap hari selain turut menawarkan perkhidmatan katering.

Orang ramai yang berhasrat mahu membuat tempahan dan katering makanan boleh menghubungi mereka di talian 019-3654871 (Ayu) dan 011-33256684 (Nora).

“Kami juga buat promosi menerusi Facebook dan Instagram dengan tema beli satu pax (pek), sedekah satu pax,” katanya.

PELAJAR Instaqlim menunjukkan ikan air tawar yang diternak. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Julai 2018 @ 9:33 AM