GAMBAR hiasan
Rosliza Mohamed
cnews@nstp.com.my


SURI rumah dirogol ketika berubat dengan bomoh dalam kejadian di kuil di Kota Bharu, pada 19 Jun lalu.

Bagaimanapun, mangsa berusia 41 tahun baru membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu pada 12.40 malam, Khamis lalu.

Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata, pada 19 Jun lalu mangsa datang berubat di tempat berkenaan dan diarahkan suspek untuk bermalam di situ.

Mangsa mendakwa dirogol ketika berada di dalam bilik dan suspek berusia 52 tahun memberitahu bagi membuang 'sial', mereka perlu melakukan hubungan seks pada hari berkenaan, 5.30 pagi.

Pengadu terpaksa akur dan setuju dengan ‘rawatan’ yang dilakukan suspek, kerana bimbang ditimpa musibah jika tidak melakukannya.

Hasanuddin berkata, pada 27 Jun lalu suspek sekali lagi mengarahkan mangsa supaya melakukan ‘upacara’ yang sama, tetapi mangsa meminta suaminya datang untuk melawatnya.

Menurutnya, sebaik suaminya sampai, mangsa meminta izin dengan alasan untuk keluar membeli barang dan suspek membenarkannya dan berpesan supaya balik semula ke kuil itu.

"Ketika berada di luar, mangsa menceritakan kejadian rogol itu kepada suaminya dan mereka membuat laporan polis pada Khamis lalu," katanya.

Beliau berkata, hasil maklumat suspek akhirnya ditahan pada Khamis lalu dan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa menerima rawatan daripada suspek kerana dipercayai terkena sihir dan perlu dirawat segera.

"Pada hujung Mei lalu mangsa melakukan upacara mandi bunga di chalet di Jalan Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini, yang turut dihadiri suami mangsa dan suspek.

"Suspek memberitahu suami mangsa bahawa mangsa dinasihatkan untuk tidak melanggar pantang larang iaitu tidak menghadiri majlis perkahwinan dan makan di mana-mana kenduri.

“Jika mangsa melanggar pantang larang, dia akan ditimpa musibah.

“Bagaimanapun pada 16 Jun mangsa menghadiri kenduri kahwin rakannya tanpa mengetahui akan pantang larang itu dan menyebabkan suaminya membawa mangsa untuk berjumpa dengan suspek kerana bimbang ditimpa musibah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Julai 2018 @ 6:24 PM