‘LITAR DUKE’ jadi tumpuan mat rempit untuk pertonton aksi berbahaya. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Hasbi Sidek
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Menjelang jam 12 tengah malam, kumpulan pelumba Kamikaze mula memasuki Lebuhraya Damansara-Ulu Kelang (DUKE) dari susur masuk Sentul ke susur Sri Gombak di sini, untuk sesi memanaskan badan.

Kebanyakan mat rempit berlumba di ‘litar DUKE’ itu terdiri daripada remaja lelaki belasan tahun sehingga awal 30-an yang mahu melepaskan gian menguji kelajuan motosikal masing-masing pada malam minggu.

Bunyi deruman ekzos diubahsuai seolah-olah menjadi situasi biasa di lebuh raya berkenaan, malah penduduk di sekitar taman perumahan di pinggir lebuhraya sudah lali dengan bunyi bising itu.

Dari susur Sentul, mat rempit terbabit menunjukkan pelbagai aksi dan gelagat berlumba sesama sendiri sebelum mereka menamatkan perlumbaan di susur Sri Gombak.

Keadaan ‘litar’ yang lurus dan jaraknya sejauh lima kilometer menjadikan Lebuhraya DUKE pilihan dan digemari dalam kalangan mat rempit di Lembah Klang.

Selepas membuat pusingan U di Sri Gombak, kumpulan terbabit sekali lagi memecut motosikal masing-masing ke arah Sentul dan mengulangi laluan itu sehingga jam 3 pagi.


AKSI mat rempit sebelum ditahan Ops Samseng Jalanan. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Wartawan yang berada di lokasi kecut perut melihat pelbagai aksi dipersembahkan mat rempit terbabit termasuk Superman dalam keadaan trafik yang turut digunakan kenderaan berat.

Apa yang menyedihkan, kebanyakan pelumba terbabit adalah generasi yang baru berusia belasan tahun dan masih menggunakan motosikal ibu-bapa masing, malah difahamkan ada segelintir daripada mereka yang datang dari Shah Alam, Klang, Rawang dan Kajang.

Penonton juga tidak kurang hebatnya, apabila mereka ‘bersidai’ di tepi lebuh raya untuk menonton ‘aksi percuma bunuh diri’ golongan mat rempit terbabit.

Malah, ada juga yang membawa teman wanita masing-masing untuk menonton aksi mat rempit terbabit sehingga awal pagi.

Menjelang jam 3.30 pagi, suasana mulai sunyi dan hanya ada beberapa motosikal saja ke hulu ke hilir dengan bunyi ekzos kuat, selain kumpulan penonton juga mula bersurai.


PENUNGGANG yang ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Lebuhraya Duke. FOTO Nurul Shafina Jemenon

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Julai 2018 @ 8:59 AM