VIRGOUN. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kejayaan single sulungnya tidak membuatkan penyanyi dari Indonesia Virgoun duduk diam dan terperangkap dalam ruang selesa.

Dia dicabar untuk terus berkarya, sekali gus mencuba nasib dengan single kedua berjudul Bukti.

Bukti adalah terjemahan isi hati Virgoun buat isteri tercinta.

“Kalau single pertama iaitu Surat Cinta Untuk Starla dihasilkan istimewa buat anak saya, single kedua pula khas untuk isteri.

“Bukan saja mewakili luahan perasaan saya sebagai suami tetapi juga setiap suami di luar sana,” katanya.

Menurutnya, sebagai lelaki, kadangkala dia tidak meluahkan perasaannya secara terus terang.

“Saya yakin, bukan saya saja bahkan ramai lelaki tidak pandai meluahkan perasaan dan kasih sayang.

“Jadi, menerusi lagu ini, saya sampaikan rasa cinta saya kepada isteri dan dia insan pertama yang mendengarnya,” katanya.

Jika di tanah airnya, Bukti sudah dilancarkan pada September tahun lalu dan kini hangat diputarkan di negara ini.

“Alhamdulillah, penerimaan pendengar di sana untuk lagu ini sangat baik. Di Malaysia juga, saya dimaklumkan ia sudah dimainkan di radio-radio.

“Saya harap, ia diterima dengan baik oleh masyarakat di sini sebagaimana penerimaan single pertama saya,” katanya.

Sebagai ‘singer-songwriter’, Virgoun kerap didatangi rakan artis yang meminta menghasilkan lagu untuk mereka.

“Namun, saya belum bersedia kerana belum masanya. Buat masa sekarang, biarlah saya hasilkan lagu untuk melebarkan karier nyanyian saya terlebih dulu,” katanya.

Bercerita mengenai tanggungjawab sebagai artis dan suami, Virgoun tidak mengalami masalah memandangkan banyak kerja dilakukan di rumah.

“Studio di rumah memudahkan saya untuk menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

“Dari segi masa, memang tak jadi masalah. Walaupun sibuk dengan kerja, saya berada di rumah dan sentiasa dekat dengan keluarga,” katanya.

Apa yang pasti, single keduanya kian popular kerana kerap diputarkan di radio Malaysia.


VIRGOUN. FOTO Nurul Syazana Rose Razman

Eksperimen dengan bunyi

Kalau diamati muzik Virgoun, boleh dikatakan dia bijak bereksperimen dengan bunyi-bunyian yang menjadikan karyanya unik.

“Dalam single pertama, saya gunakan bunyi mesin taip untuk disesuaikan dengan judul lagu.

“Single kedua ini pula, saya gunakan bunyi daripada pen ‘marker’ dan kertas yang diconteng,” katanya.

Bukan sekadar menghiburkan pendengar tetapi Virgoun mendidik pengikut setia menerusi lagu ciptaannya.

“Saya ingin mendidik orang ramai dalam menghasilkan karya tidak semestinya perlu terlalu serius.

“Kadangkala, ada juga karya yang santai tapi berjaya menarik perhatian ramai kerana keunikannya,” katanya.

Virgoun menegaskan dia akan mengekalkan identitinya dengan muzik yang sarat nilai eksperimen.

“Kalau ada kesempatan, saya cuba gabungkan muzik Electronic Dance Music (EDM) dengan seni budaya asli Indonesia.

“Kalau di Barat, mendiang Avicii menggabungkan EDM dengan muzik ‘country’, mungkin saya boleh gabungkan EDM dengan instrumen seperti gambus dan macam-macam lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Julai 2018 @ 6:21 AM