MOHD Saiful Nizam bersama adik-beradiknya menunjukkan koleksi buku peninggalan Mokhtar. FOTO Ghazali Kori.
Zatul Iffah Zolkiply
cnews@nstp.com.my

Kuala Terengganu: “Arwah abah pernah kata yang dia tidak tinggalkan harta untuk kami, sebaliknya buku-buku yang akan menjadi khazanah tidak ternilai,” kata Muhammad Saiful Nizam Mokhtar, 38.

Anak kepada Mokhtar Yusof, 65, yang lebih dikenali Cikgu Tar itu berkongsi pesanan ayahnya yang kini menjadi azimat kepada lapan adik-beradiknya untuk terus mengusahakan perpustakaan mini yang digelar sebagai Dusun Buku.

Dusun Buku di Kampung Dusun, Kuala Ibai di sini diusahakan Cikgu Tar yang juga bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Undang sejak 2010 dan mempunyai koleksi lebih 14,000 buku yang dikumpul bermula 1973.

Bagaimanapun, Cikgu Tar menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, akibat sakit jantung pada jam 2.02 petang kelmarin.

Arwah dimasukkan ke Salam Specialist Hospital Kuala Terengganu pada Ahad lalu selepas tidak sihat sebelum dirujuk ke HSNZ pada Selasa.

Muhammad Saiful Nizam berkata, kini dia dan adik-beradiknya bertanggungjawab untuk menguruskan Dusun Buku seperti diusahakan arwah bapa mereka yang menganggap koleksi itu jauh lebih bernilai daripada wang ringgit.

“Pemergiannya mengejutkan kami sekeluarga, namun kami bersyukur kerana masing-masing berada di sisi arwah sebelum dia menghembuskan nafas terakhir terutama ibu kami, Zaleha Tukiran, 62.

“Arwah abah berpesan hanya koleksi bukunya di Dusun Buku yang mampu ditinggalkan untuk kami, malah ia lebih bermakna daripada wang ringgit dan harta benda.

“Insya-Allah, kami adik-beradik akan meneruskan Dusun Buku abah dan menjaganya sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga itu, kelmarin.

Jenazah Cikgu Tar selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gong Pauh selepas solat Asar petang kelmarin.

Mengulas lanjut, Muhammad Saiful Nizam berkata, Cikgu Tar memang suka membaca dan sentiasa menambah koleksi bukunya dan sanggup membeli secara dalam talian atau mendapatkan di luar negara jika ia tiada dalam pasaran tempatan.

“Namun, kami terkilan kerana arwah tidak sempat melihat buku yang baru dibelinya kerana buku itu sampai di rumah pada hari dia meninggal dunia,” katanya.

Ketika ditanya perubahan yang berlaku kepada Allahyarham sebelum menghembuskan nafas terakhirnya, Muhammad Saiful Nizam berkata, arwah ada memberitahu jiran yang semua anaknya akan berkumpul di rumahnya, tahun ini pada Aidilfitri walaupun ada antara mereka sepatutnya beraya di rumah mentua.

“Mungkin ia kebetulan tetapi abah seolah-olah dapat merasakan ini adalah kali terakhir kami sekeluarga berkumpul menyambut Aidilfitri.

“Selain itu, abah turut memberikan anak perempuan, menantu dan anak saudara perempuan buku bertajuk Rezeki Luar Biasa, Suri Arkitek Rumah sebagai hadiah Aidilfitri kali ini sedangkan sebelum ini dia tidak pernah berbuat demikian.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 4:56 AM