AYDA Jebat.
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

Tujuh tahun mencanai bakat sebagai pelakon dan penyanyi mematangkan Ayda Jebat, 26.

Dia kini semakin bijak menepis cubaan mensensasikan kisah peribadinya. Ternyata, Ayda tidak suka ‘menjual’ kisah cintanya.

Meskipun hubungan rapat pemilik nama sebenar Nur Suhada Jebat ini dengan pelakon Redza Rosli, 26, bukan lagi rahsia, tiada istilah menumpang populariti di antara mereka.

Bagi Ayda, hero drama bersiri Isteri Untuk Diiktiraf di RTM itu berbakat besar dan perlu digilap untuk lebih bersinar.

Anak jati kelahiran Melaka ini memberitahu dia tidak melihat hubungan rapat itu sebagai percubaan mengambil kesempatan ke atas popularitinya yang menjadi perhatian peminat.

“Terus terang, saya tidak nampak persahabatan kami disebabkan mahu menumpang populariti. Bagi saya, Redza sudah dikenali kerana bakatnya sebelum rapat dengan saya.

“Lihat saja kemunculan Redza sebagai bintang utama dalam beberapa telefilem istimewa Aidilfitri baru-baru ini, ramai penonton suka dengan persembahannya.

“Oleh itu, ia tiada kaitan pun dengan hubungan rapat kami. Bagaimanapun, kami saling menyokong kerjaya masing-masing,” katanya.

Enggan berbicara lanjut mengenai hubungan rapat itu, Ayda berkata hingga kini fokus utamanya masih pada karier. Ujarnya, banyak lagi benda yang belum dicapai.

Pada Aidilfitri baru-baru ini juga, Ayda dan Redza diganding sebagai adik-beradik dalam telefilem Di Penghujung Sujud yang bersiaran di TV3.

Ditanya mengenai namanya yang dikatakan kian ‘merudum’, Ayda menafikan tanggapan itu. Tegasnya, dia masih relevan kerana tidak menang tangan memenuhi pelbagai tawaran.

“Alhamdulillah, saya masih dihujani tawaran berlakon dan menyanyi. Malah, saya turut dilantik sebagai duta produk.

“Jadi, mana datangnya dakwaan kononnya nama saya merudum? Hingga saat ini, saya masih komited melaksanakan tanggungjawab sebagai anak seni dan menjaga hubungan baik dengan peminat serta media.

“Bahkan, saya juga masih Ayda yang dulu. Boleh menerima teguran dan kritikan membina daripada peminat dan sesiapa saja demi memantapkan lagi kerjaya,” katanya.

Ayda yang mencipta nama menerusi drama Rindu Awak 200% di TV3 juga popular sebagai penyanyi melalui single Siapa Diriku, Pencuri Hati, Nakal Nakal Nakal, Mata dan terbaru Bagai Pelangi.

Dek sikap ramah, ceria, merendah diri dan mudah mesra, Ayda berjaya mengumpul lebih 40 koleksi trofi hasil undian pengikut setianya.


AYDA Jebat.

Sokongan AJS masih kukuh

Di sebalik kejayaan selebriti terkenal, semestinya ada sokongan kukuh peminat di belakang mereka.

Itulah juga yang menyumbang kejayaan Ayda dalam terus mengukuhkan nama dan bakatnya di gelanggang seni tanah air.

Sentiasa aktif menganjurkan aktiviti bersama kelab peminatnya, Ayda Jebat Screamer (AJS) setakat ini sudah mengumpul 104,000 pengikut di Instagram (IG) rasminya.

Berbicara mengenai AJS, Ayda mengakui dirinya bertuah kerana apa saja aktiviti seninya akan mendapat sokongan padu ahli kelab AJS.

“Saya bangga ada ahli kelab peminat seperti AJS yang hingga kini masih setia menyokong karier seni saya. Terima kasih tidak terhingga.

“Lebih istimewa, kami sentiasa menjaga silaturahim, saling menghormati dan tidak berkira.

“Malah, gembira AJS menyokong saya kerana bakat dan kerja keras selama ini. Saya sangat menghargainya,” kata Ayda.

Bintang utama filem Pinjamkan Hatiku arahan Osman Ali itu berkata dia bakal muncul dengan drama baru untuk slot Akasia tidak lama lagi.

Menerusi drama berjudul Cinta Bukan Kristal itu, Ayda melakonkan watak Aryana.

“Saya harap drama ini akan mendapat sambutan baik penonton apabila ditayangkan nanti. Saya sudah melakukan yang terbaik untuk watak Aryana.

“Ini adalah drama ketiga saya untuk slot Akasia selepas Rindu Awak 200% dan Ku Kirim Cinta pada 2016,” katanya.

Bagaimanapun, impian yang mahu dicapai Ayda tahun ini adalah tampil dengan album pertama yang sudah lama dinanti peminat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Jun 2018 @ 4:11 AM