YOO mengejutkan peminat dengan membuka akaun Instagram selepas kunjungannya ke Malaysia.
YOO Seung Ho mula dikenali seawal usia enam tahun dan kini membintangi hampir 50 drama serta filem.
Nor Faizah Mohamed
am@hmetro.com.my


“Aji 3! Aji 3! Aji 3!”. Demikian laungan tanpa henti nama robot dalam drama popular Korea Selatan, I’m Not A Robot yang dibintangi Yoo Seung Ho oleh peminat tempatan yang membanjiri pusat beli-belah Fahrenheit88, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ia nyata menunjukkan usia bukanlah aspek signifikan dalam menentukan pencapaian seseorang individu.

Namun bagi Yoo Seung Ho, 25, usia banyak memainkan peranan serta menjadi tanda aras dalam perkembangan kerjayanya di mana pelakon kelahiran Incheon, Korea Selatan ini mula dikenali seawal usianya enam tahun.

Yoo pertama kali menjejakkan kaki dalam industri hiburan menerusi iklan telefon bimbit pada 1999 selepas ibunya menghantar foto pelakon itu ke agensi pengiklanan.

Setahun kemudian, Yoo memulakan kerjaya sebagai pelakon dalam drama Daddy Fish sebelum namanya melonjak sejurus membintangi filem The Way Home pada 2002.

Dalam filem itu, Yoo memainkan peranan sebagai lelaki muda dari kota bernama Sang Woo yang belajar menghargai kehidupan ringkas di kampung selepas dipaksa menghabiskan musim cuti panas bersama neneknya yang bisu dan pekak.

Filem itu juga meletakkan Yoo sebagai Nation’s Little Brother di Korea Selatan dan membolehkannya membawa pulang trofi Persembahan Muda Terbaik bagi Filem Antarabangsa di Anugerah Artis Muda ke-24 yang berlangsung pada Mac 2003 di Studio City, California, Amerika Syarikat.

Selain diangkat sebagai Nation’s Little Brother, Yoo tidak ketinggalan dikenali sebagai Little So Ji Sub (So Ji Sub kecil) kerana mirip dengan pelakon senior itu, malah Yoo tampil dalam muzik video So untuk lagu Eraser bersama pelakon wanita popular, Park Shin Hye pada 2013.

Yoo terus beraksi dalam lebih 20 drama dan filem sebelum menghentikan seketika aktiviti seninya susulan menyertai latihan ketenteraan mulai 5 Mac 2003 hingga 4 Disember 2004.

Andai kebanyakan artis Korea Selatan berdepan kemerosotan populariti sejurus selesai latihan wajib itu, Yoo terus aktif dalam drama antaranya Imaginary Cat, Remember, The Emperor: Owner of the Mask dan terkini, I’m Not A Robot bersama pelakon meningkat naik, Chae Soo Bin.

Menerusi The Emperor: Owner of the Mask, Yoo dinobatkan dengan Anugerah Kecemerlangan Utama Aktor Dalam Siri Mini pada malam Anugerah Drama MBC, tahun lalu.

Formula populariti itu diharapkan dapat membantu drama seterusnya, I’m Not A Robot namun ia tidak mencapai rating yang diharapkan.

Bagaimanapun, drama bergenre romantik-komedi arahan Jung Dae Yoon itu mendapat sambutan luar biasa dalam kalangan peminat antarabangsa.

“Beberapa kali saya terlepas peluang untuk berkunjung ke Malaysia dan sejurus tiba di sini, saya terkejut dengan penerimaan peminat terhadap drama itu.

“Saya amat teruja apabila rata-rata peminat mengenali saya menerusi I’m Not A Robot memandangkan ia percubaan pertama saya membawa watak untuk drama sebegitu,” katanya dalam temu bual bersama RAP, baru-baru ini.

Drama I’m Not A Robot mengisahkan Kim Min Kyu (Yoo Seung Ho) menjalani kehidupan yang terpencil kerana alahan teruk hingga mengancam nyawanya apabila bersama individu lain.

Buka akaun Instagram selepas ke Malaysia

Jo Ji Ah (lakonan Chae Soo Bin) pula adalah wanita yang cuba bangkit selepas gagal dalam beberapa percubaan untuk wewujudkan perniagaan sendiri.

Bagaimanapun, selepas bertemu dengan Min Kyu, dia terpaksa berpura-pura menjadi robot bernama Aji 3.

Robot Aji 3 asalnya dibangunkan bekas teman lelaki Ji Ah, profesor Hong Baek Kyun (Um Ki Joon) dan pasukannya. Sebelum robot itu dihantar untuk diuji oleh Min Kyu, ia mengalami kemalangan yang menyebabkan baterinya rosak.

Disebabkan Baek Kyun menggunakan Ji Ah sebagai inspirasi dalam menghasilkan model itu, pasukan itu terpaksa meminta bantuan Ji Ah menggantikan Aji 3 buat sementara waktu.

Tambah Yoo, wataknya dalam I’m Not A Robot boleh disifatkan antara watak kegemarannya berikutan dapat memperlihatkan serba sedikit personaliti sebenarnya di kaca televisyen.

“Ia antara watak paling disukai kerana ia unik dan berbeza daripada watak sebelumnya. Menerusi I’m Not A Robot, saya berpeluang menunjukkan serba sedikit diri saya yang sebenar dan saya rasa selesa sepanjang menzahirkan watak itu,” kata anak bongsu daripada dua beradik ini.

Mengulas lanjut mengenai perancangan masa depannya, Yoo menjelaskan dirinya kini masih meneliti beberapa projek yang sesuai.

“Ada beberapa projek menarik yang sudah dikenal pasti dan dalam proses perbincangan.

“Kalau diikutkan saya lebih gemarkan watak aksi kerana lebih seronok serta lasak, tetapi saya juga cuba mengintai peluang untuk tampil dalam lebih banyak drama romantik.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu mengehadkan diri dalam satu-satu genre atau cabang seni. Kalau boleh saya ingin mencuba semuanya,” katanya.

Yoo dibawa khas ke Kuala Lumpur bagi merasmikan butik Play Up Advance yang menampilkan lebih 10,000 produk kecantikan di bawah satu bumbung.

Ia kali pertama pelakon berketinggian 175 sentimeter ini ke Malaysia dan merancang untuk kembali dengan bercuti di pulau peranginan.

Kunjungan Yoo ke Malaysia juga mengejutkan peminatnya apabila dia membuka akaun Instagram (@yooseungho.san.official) dan memuat naik himpunan foto yang dirakamnya sepanjang berada di Kuala Lumpur.

Yoo sebelum ini pernah menegaskan bahawa dia tidak berminat dengan media sosial, tambahan pula dirinya yang pemalu dan bersifat peribadi terhadap aktiviti di luar penggambaran.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 8:46 AM