Yuna. FOTO ROHANIS SHUKRI
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


PENYANYI terkenal, Yuna mengakui terpaksa beraya di lapangan terbang di Jepun ketika transit penerbangan dari Los Angeles, Amerika Syarikat ke Kuala Lumpur pada 1 Syawal lalu.

Yuna atau Yunalis Zarai, 32, berkata, dia tidak kisah beraya di lapangan terbang kerana ditemani suaminya, Adam Sinclair, 34 ketika itu.

“Saya juga rasa cemburu melihat gambar orang lain memuat naik gambar raya mereka di laman Instagram.

“Sedangkan saya dan suami pula hanya minum kopi di lapangan terbang pada raya pertama sementara menunggu penerbangan ke Kuala Lumpur.

“Kami hanya dapat beraya bersama keluarga pada raya kedua,” katanya.

Yuna berkata pada majlis pelancaran filem pendek #wanitabesi Pantene di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas sambutan raya, kata Yuna, dia rasa teruja dapat meraikan hari raya bersama kedua belah keluarga di Shah Alam.

“Keluarga saya dan Adam tinggal berhampiran saja di Shah Alam.

“Kami turut pulang beraya di kampung saya di Sayong dan Batu Gajah, Perak pada raya ketiga dan keempat.

“Ia baru kali pertama Adam beraya di kampung.

“Selepas beraya di kampung, kami bercuti pula di Pulau Langkawi pada raya kelima dan raya keenam,” katanya.

Adam dan Yuna diijabkabulkan pada 26 Januari lalu di Bentong, Pahang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Jun 2018 @ 3:09 PM