RAKAMAN video penerjun negara yang berfoya-foya serta meminum alkohol. FOTO/FAIL
Mohd Khairie Khalid
khairie@nstp.com.my


KESATUAN Renang Amatur Malaysia (ASUM) mengesahkan atlet negara yang terpalit kontroversi video adalah tiga penerjun senior dalam Program Podium dan empat lagi membabitkan penerjun remaja dari Majlis Sukan Negara (MSN).

Menerusi kenyataan dikeluarkan Setiausaha Kehormat ASUM, Mae Chen menjelaskan penerjun mengakui akan kesalahan dilakukan dan berjanji tidak akan melakukannya lagi malah bersedia membuat permohonan maaf kepada orang ramai.

“Berkenaan video membabitkan penerjun Malaysia, kami mengesahkan mereka adalah tiga penerjun senior dari Program Podium dan 4 penerjun remaja MSN serta Institut Sukan Negara (ISN) ingin menjelaskan mengenai isu ini.

“Video yang bocor di media sosial beberapa hari lalu membabitkan penerjun dirakam semasa makan malam Tahun Baharu Cina, dihoskan pengurusan perkhidmatan di China sewaktu cuti rehat tiga hari.

“Tiga jurulatih juga berada di sana namun tidak menyedari perkara berkenaan kerana ia berlaku di kawasan tertutup,” kata Mae dalam kenyataan media berhubung isu video penerjun negara, hari ini.

Awal pagi tadi, media melaporkan skuad terjun sekali lagi terpalit isu panas apabila video yang dipaparkan di internet menunjukkan penerjun Malaysia sedang bersuka ria, berfoya-foya serta meminum alkohol dan perkara itu dipercayai berlaku di Guangzhou, China.

Mengulas lanjut, Mae menjelaskan ASUM, ISN dan MSN sudah bertemu dengan semua penerjun terbabit dan memaklumkan secara jelas akan tahap yang diletakkan terhadap mereka adalah tinggi.

“Sebagai atlet kebangsaan, mereka harus sedar mereka membawa imej negara. Amaran sudah diberikan kepada atlet dan ini adalah masalah disiplin, maka jurulatih perlu mengambil perhatian akan perkara ini serta memantau atlet dengan lebih dekat agar ia tidak berulang.

“Atlet juga mengakui salah mereka dan berjanji tidak akan melakukannya lagi. Mereka akan belajar daripada kesilapan dan bersedia untuk meminta maaf secara umum.

“Jawatankuasa siasatan akan menentukan tindakan yang bakal diambil dan akan mengemukakan cadangan kepada jawatankuasa disiplin ASUM. Dalam pada itu, elaun atlet akan digantung dengan serta merta,” katanya.

Mae dalam masa sama menjelaskan penerjun negara berada di China selama sebulan bermula pada Januari untuk persiapan Siri Terjun Dunia 1 dan 2 di China serta Jepun, kemudian bertolak ke Gold Coast untuk Sukan Komanwel 2018.

Selepas tamat Komanwel, semua penerjun kembali ke Kuala Lumpur untuk menjalani latihan dan kemudian bertolak ke Piala Dunia 2018 di Wuhan, China pada Mei, sambil memuji penerjun negara yang berjaya menghasilkan keputusan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Jun 2018 @ 10:59 PM