KEADAAN motosikal ditunggangi mangsa selepas bertembung dengan kereta. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


“Saya rasa tak sedap hati bila dia beritahu nak ke kawasan air terjun itu sekali lagi. Walaupun melarang, dia pergi juga.

“Saya pelik kerana sebelum ini dia tak pernah membantah cakap saya, tetapi rupanya ia petanda dia pergi selamanya.”

Demikian kata Nor Hanisah Mat Isa, 34, ibu kepada Che Wan Muhammad Akmal Ikbar Che Wan Mohd Rosli, 16, yang maut akibat kemalangan di Kilometer 23.5, Jalan Paka-Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), dekat Dungun, 2.50 petang, hari ini.

Che Wan Muhammad Akmal Ikbar meninggal dunia akibat parah di kepala dan badan selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan kenderaan pelbagai guna (MPV).

Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Hadhari Paka ke kawasan air terjun Chemerong di Pasir Raja.

Nor Anisah berkata, ketika kejadian arwah anaknya itu berkonvoi bersama beberapa rakan mangsa untuk mandi di pusat peranginan itu.

“Kelmarin, arwah sudah mandi di sana. Pagi tadi dia beritahu nak mandi lagi dan saya marah kerana tempat peranginan itu agak jauh.

“Saya marah kerana rasa tidak sedap hati, tapi dia tidak mengendahkan teguran saya sebelum keluar dari rumah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Katanya, dia juga pelik dengan kelakuan anaknya itu memandangkan sebelum ini arwah tidak pernah membantah nasihat dan tegurannya.

“Dia turun dengan tergesa-gesa seolah-olah seperti sesuatu memanggilnya. Kira-kira 20 minit selepas itu saya menerima panggilan daripada rakannya yang beritahu anak saya kemalangan,” katanya.

Menurutnya, dia segera bergegas ke tempat kejadian dan tidak menyangka kemalangan itu menyebabkan anak sulung daripada empat beradik itu maut.

“Saya sangat sedih dengan kejadian menimpa arwah namun apakan daya sudah suratan Ilahi dan saya perlu reda dengan apa yang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

“Mayat dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Jun 2018 @ 6:49 PM