FOTO Gambar hiasan seperti disiarkan di akhbar Indonesia, Kompas.
AFP

MAYAT seorang wanita ditemui dalam perut seekor sawa selepas ular itu ditangkap berhampiran lokasi mangsa dilaporkan hilang ketika bercucuk tanam di halaman rumahnya, kata polis.

Mayat Wa Tiba, 54, ditemui Jumaat selepas penduduk kampung membelah ular berukuran tujuh meter itu yang ditemui berlingkar dengan perut membesar di perkampungan Persiapan Lawela di pulau Muna, berhampiran Sulawesi.

Ketua polis tempatan, Hamka berkata: “Penduduk mengesyaki ular itu menelan mangsa lalu membunuhnya dan membawanya keluar dari halaman rumah mangsa.

“Mereka membelah perut ular itu dan menemui mayat mangsa di dalamnya.”

Kira-kira 100 penduduk termasuk saudara-mara mangsa berusaha mencari wanita itu selepas dia hilang ketika bercucuk tanam pada lewat Khamis.

Hamka berkata, penduduk menemui ular gergasi itu berlingkar kira-kira 30 meter dari kasut serta parang Wa. Menurutnya, kepala mangsa ditelan dulu manakala tubuhnya masih sempurna.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Jun 2018 @ 3:02 PM