ANTARA latihan program Let’s Get Fit To Fight Fire.
Suraya Roslan
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Tidak hanya dilihat segak dalam kalendar dan drama yang ditayangkan, inisiatif Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak ini wajar dipuji apabila menjalankan Program Let’s Get Fit To Fight Fire yang menyasarkan pegawai memiliki Indeks Jisim Badan (BMI) melebihi 35.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak Nor Hisham Mohammad berkata, program itu dilaksanakan selama setahun membabitkan 17 pegawai obesiti dan kurang cergas dalam menjalankan kerja menyelamat.

“Antara program diatur iaitu latihan intensif kesedaran selama seminggu membabitkan latihan fizikal, motivasi dan kawalan kalori.

“Mereka diberi masa setahun untuk menurunkan BMI yang bersesuaian dengan ketinggian sekali gus menjalani ujian kecerdasan dan kecergasan individu yang dilaksanakan secara bulanan,” katanya.


ANTARA latihan program Let’s Get Fit To Fight Fire.

Menurutnya, 17 pegawai ini diletakkan di bawah program mentor dan mentee yang memantau berat badan serta menjalani program bersama seperti larian dan sebagainya.

“Selain itu, mereka diletakkan dalam program pengurusan obesiti dan nutrisi dengan kerjasama hospital.

“Mereka diberi masa setahun dan wajib menurunkan berat badan kerana ia termasuk dalam penilaian prestasi kecemerlangan mereka,” katanya.

Nor Hisham berkata, selama setahun program itu dijalankan, 12 pegawai lulus dengan cemerlang dan berjaya memperoleh BMI ideal, manakala lima lagi masih melebihi BMI 35.

“Lima pegawai itu masih dalam program intensif khas termasuk dua menghidap penyakit gout yang menyukarkan mereka melakukan latihan fizikal.

“Kebanyakan yang dipilih dianggarkan memiliki berat lebih 100 kilogram dan melalui ujian bulanan yang dibuat hingga berjaya menurunkan berat dengan drastik,” katanya.


ANTARA latihan program Let’s Get Fit To Fight Fire.

Menurutnya, program itu dijalankan bersesuaian dengan imej bomba yang ditugaskan menyelamatkan orang dan memerlukan mereka cergas setiap masa.

“Tidak hanya di dalam kalendar tahunan kami memaparkan imej abang bomba sado dan cergas serta melalui drama ditayangkan, kita mahu secara realiti juga sama apabila orang ramai melihat anggota bomba cergas ketika menyelamatkan orang.

“Kita perlu memastikan anggota bomba yang melakukan kerja menyelamat selalu cergas untuk melawan api,” katanya.

Beliau berkata, anggota dan pegawai berusia bawah 30 tahun juga dipantau berat badan mereka kerana ia adalah pelaburan masa depan untuk jabatan ini berikutan pihaknya masih mahu menggunakan khidmat mereka 30 tahun lagi.


ANTARA pegawai obesiti dan kurang cergas dalam menjalankan kerja menyelamat menjalani Program Let’s Get Fit To Fight Fire.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Jun 2018 @ 9:31 AM