FARA bergambar bersama dengan anak-anak pelarian pada Duta Misi Ramadan Al Habeeb 6.0. FOTO Ihsan Malaysia4Syria
Amirul Haswendy Ashari.
haswendy@hmetro.com.my


PENYAMPAI radio dan pengacara, Fara Fauzana, 38, mengakui menyelami kisah pelarian Syria dengan lebih mendalam selepas berpeluang mengadakan sesi 'pillow talk' di beberapa kem pelarian di sempadan Jordan dan Turki.

Fara yang juga Duta Misi Ramadan Al Habeeb 6.0 anjuran Malaysian Life Line For Syria melawat beberapa kem pelarian yang terletak di kawasan itu sejak 3 Jun hingga hari ini.

“Saya berpeluang tidur dan bersahur di sebuah rumah didiami ibu tunggal yang memiliki sembilan anak dari usia 14 tahun sehingga satu tahun setengah.

“Aktiviti ini memberi kami lebih banyak peluang untuk mengenali mereka, selain mendengar kisah mereka yang terpaksa berjalan kaki pada jarak beratus kilometer untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Selain itu, Fara turut sebak mendengar kisah seorang gadis yang melarikan diri pada usia 14 tahun bersama dua adiknya yang masih kecil tanpa kasut atau pelapik kaki merentasi sempadan.

“Saya tak tahan (sebak) apabila gadis itu bercerita mengenai bagaimana bapa dan adiknya yang keluar rumah untuk mendapatkan roti percuma untuk mereka sekeluarga di sebuah lokasi dibom musuh sehingga tubuh mereka hancur berkecai,” katanya.


FARA menyantuni kaum ibu pada misi berkenaan. FOTO Ihsan Malaysia4Syria

Selain menyantuni pelarian dengan menyampaikan sumbangan, bersahur dan berbuka puasa bersama, Fara turut mengambil peluang menghiburkan pelarian terutama wanita dengan mengadakan sesi tutorial pemakaian tudung, urutan dan spa wajah.

Bekas pengacara Muzik-Muzik TV3 itu juga mengakui cabaran berpuasa lebih 17 jam dan pada masa sama melakukan kerja kebajikan seperti membantu mengangkat barangan sumbangan bukan mudah dan memerlukan tahap kesabaran yang tinggi.

Apatah lagi suasana itu jauh berbeza dengan misi bantuan musim sejuk yang pernah disertainya bersama badan kebajikan sama, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Jun 2018 @ 4:43 PM