Farah Marshita Abdul Patah
farahmarshita@nstp.com.my


DATUK didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang, hari ini, atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap cucu perempuannya yang berusia 9 tahun.

Tertuduh, 71, yang juga pesara tentera, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Azrul Darus.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa dengan cara mencium bibir, memegang kemaluan dan memasukkan jari ke dalam kemaluan serta mengarahkan mangsa menghisap kemaluannya.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di rumah dekat Ampang Jaya, 4 petang, pada awal tahun ini dan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, dan dibaca bersama Seksyen 16 akta sama, yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim tidak menawarkan sebarang jaminan dengan alasan tertuduh mempunyai hubungan kekeluargaan dan mengetahui tempat tinggal mangsa.

Bagaimanapun, tertuduh dalam rayuannya, menerusi peguam M K Thas, memohon dibenarkan ikat jamin dengan alasan menghidap penyakit darah tinggi dan gout serta baru menjalani pembedahan pintasan jantung.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di Balai Polis Ampang pada setiap bulan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh untuk tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan serta menetapkan 20 Julai ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Jun 2018 @ 2:18 PM