SHAHMIL membungkus nasi lemak sambil dibantu oleh pembantunya di Shah Alam. FOTO Faliq Lajim
Faliq Lajim
cnews@nstp.com.my


JURUTERBANG kepada orang kenamaan (VIP) bermurah hati apabila menyediakan nasi lemak percuma kepada orang ramai di Bandaraya Shah Alam sebagai juadah berbuka puasa.

Itu adalah inisiatif Shahmil Amal Mohd Mukhtar, 46, bersama isterinya yang juga jurutera rangkaian, Syahrul Ain Shahril, 40.

Nasi lemak itu diedarkan secara percuma bermula 5.30 petang berdekatan di sebuah stesen minyak di Jalan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 9, Shah Alam.

Shahmil berkata, idea nasi lemak percuma itu timbul selepas orang ramai banyak mengagihkan bubur lambuk percuma ketika Ramadan.

“Namun, saya tidak mempunyai kepakaran untuk membuat bubur lambuk tetapi ada kepakaran membuat nasi lemak. Justeru, saya mengambil keputusan untuk memberi nasi lemak percuma.

“Resepi agak istimewa saya gunakan iaitu resepi nasi sebelah keluarga isteri di Kajang, manakala sambal daripada sebelah keluarga saya di Pulau Pinang,” katanya.

Nasi lemak itu juga mempunyai lauk berbeza seperti ikan masin talang, udang, paru dan lain-lain mengikut hari serta mampu dinikmati oleh 270 orang.

Kata Shahmil yang juga bapa kepada tiga anak, pada mulanya dia hanya membuka khemah dan meletakkan papan tanda bertulis 'Nasi Lemak Percuma' sehingga membuatkan orang ramai ragu-ragu dan pelik.


ORANG ramai beratur untuk mendapatkan nasi lemak percuma di Shah Alam. FOTO Faliq Lajim

“Ada juga yang saya tengok berpusing ulang-alik untuk memastikan papan tanda itu betul-betul tulis 'Nasi Lemak Percuma'.

“Mereka kelihatan pelik dan janggal. Apabila sudah ambil pun mereka tetap tanya adakah ia benar-benar percuma,” katanya.

Menurutnya, memang ada individu yang mahu membayar, namun dia tidak mahu mengambil wang itu.

“Namun, apabila mereka berkeras, saya akan menggunakan wang untuk membuat nasi lemak dan lauk yang enak pula,” katanya.

Katanya, dia juga bercadang meneruskan pemberian nasi lemak itu pada bulan lain selain Ramadan berikutan ia mendapat sambutan amat menggalakkan.

“Jika diberi kesempatan, saya akan meneruskan pemberian nasi lemak percuma ini. Setakat ini, saya ada cadangan untuk memberi nasi lemak secara percuma pada Jumaat setiap minggu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Jun 2018 @ 8:56 PM