ROSMAH ketika tiba di ibu pejabat SPRM Putrajaya, pagi tadi. FOTO Sairien Nafis
BERNAMA

PROSES mengambil keterangan isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berhubung siasatan kes SRC International Sdn Bhd dipercayai masih berjalan selepas lebih tiga jam beliau tampil di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di Putrajaya.

Rosmah yang datang menaiki kenderaan Mercedes-Benz tiba pada 10.43 pagi masih belum keluar dari perkarangan bangunan tersebut setakat 1.30 tengah hari ini.

Beliau yang berpakaian baju kurung berbunga berwarna biru dan bertudung merah serta membawa beg berwarna merah ditemani anaknya Nooryana Najwa Najib.

Seorang pegawai SPRM yang ditemui BERNAMA mengesahkan Rosmah masih berada dalam bangunan berkenaan dan belum selesai memberi keterangan berhubung kes itu.

Puluhan wartawan tempatan dan antarabangsa kelihatan berkumpul di perkarangan ibu pejabat SPRM seawal 6.30 pagi untuk membuat liputan kes itu .

Jumaat lalu, SPRM mengeluarkan notis kepada Rosmah untuk memberi kenyataannya berkaitan siasatan SRC International.

Berita berkaitan

Rosmah hadir di ibu pejabat SPRM [METROTV]

1MDB: Rosmah perlu hadir ke SPRM esok

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Jun 2018 @ 2:15 PM