SURAYA Darus, 44, terpaksa dipapah selepas melihat mayat madunya Siti Aishah Mohamad Yusof terbaring selepas terbabit kemalangan berhampiran SMK Teknik pagi tadi. FOTO Omar Osman
Omar Osman
cnews@nstp.com.my


“SAYA bersama arwah dan anaknya sempat membeli baju raya di pasar raya kelmarin, namun pagi ini terkejut apabila mengetahui dia pergi buat selama-lamanya," kata Suraya Darus, 44, madu kepada Siti Aishah Muhamad Yusof, 44, yang maut selepas terbabit kemalangan, hari ini.

Dalam kejadian 8.15 pagi itu, mangsa yang menunggang motosikal Modenas Kriss terbabas di sebelah kiri jalan ketika membuat pusingan di Kilometer 53.9 Jalan lama Alor Setar - Butterworth di persimpangan lampu isyarat Plaza Tol Sungai Petani arah Utara.

Mangsa turut melanggar tebing di sebelah kiri jalan menyebabkan dia tercampak ke dalam longkang sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Suraya berkata, madunya itu yang bekerja sebagai operator kilang, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Zon Mawar, Sungai Lalang selepas habis bekerja shif, malam tadi.

Katanya, bagaimanapun pada 8.20 pagi, dia berasa tidak sedap hati dan tiba-tiba teringatkan Siti Aishah sebelum bergegas ke rumah madunya itu, namun mendapati dia belum pulang.

"Saya kemudian ke tempat kerjanya di Bukit Makmur dan bertanya kepada pengawal keselamatan kilang itu, namun diberitahu arwah sudah keluar.

"Tidak lama kemudian saya menerima panggilan memberitahu arwah kemalangan dan terus ke lokasi kejadian," katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani, hari ini.

Menurut Suraya, dia berasa sedih kerana madunya itu seorang yang baik, malah mereka berdua baru sahaja pergi membeli baju raya kelmarin selain sering pergi ke bazar Ramadan bersama.

"Kami berdua memang amat rapat, malah ke mana dia pergi saya mesti ada bersama.

“Sejak beberapa hari ini, arwah sering menyebut dia akan mati menyebabkan saya marah padanya.

"Dia juga berpesan jika dia mati, kebumikan jenazahnya sebelah kubur arwah bapanya di Sik," katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Sazalee Adam berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas mangsa membuat pusingan di persimpangan lampu isyarat Plaza Tol Sungai Petani (Utara) hilang kawalan sebelum melanggar tebing di sebelah kiri jalan.

"Mangsa turut tercampak ke dalam longkang dan meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah.

"Mayat dihantar ke HSAH untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 2:18 PM