RUSLIDA dan dua anaknya di kandang kambing yang dijadikan rumah sejak setahun lalu. FOTO Ramli Ibrahim
Ramli Ibrahim
cnews@nstp.com.my


HAMPIR setahun lamanya, empat beranak dari Kampung Chegar Bungor, Gua Musang bertahan untuk tinggal dalam kandang kambing yang daif.

Disebabkan kemiskinan, mereka bukan hanya menjadikan kandang itu ‘syurga’, bahkan lantai kayu yang suatu ketika dahulu tempat pembuangan najis kambing dijadikan alas tidur.

Kandang itu turut ditambat pada sebatang pokok bagi mengelak runtuh sekiranya berlaku ribut.

Keadaan menyedihkan itu terpaksa dipendam Ruslida Kamarazaman, 38, bersama anaknya berusia dua hingga 13 tahun kerana mereka tidak mempunyai rumah lain selepas dia bercerai dengan suaminya.

Katanya, dia bernasib baik kerana kandang itu kosong dan adik iparnya memberi kebenaran untuk mereka tinggal di situ memandangkan dia tidak mampu menyewa rumah lain.

“Dengan pendapatan RM10 sehari hasil menoreh getah, tidak memungkinkan saya untuk menyewa rumah lain.

“Duit itupun tak cukup hingga saya terpaksa berpuasa dan anak pula terpaksa makan nasi berkuahkan kicap.

“Anak lelaki berusia 13 tahun tidak mahu bersekolah kerana kemiskinan ini dan dia bekerja dengan mengambil upah mengangkat getah sekerap,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

KAMBING yang dimuatkan di dalam van berkenaan. FOTO Norasikin Daineh

Ruslida mengaku tidak kisah menghuni kandang itu kerana sekurang-kurangnya dia tidak perlu mengeluarkan belanja besar termasuk membayar sewa rumah, bil elektrik dan air.

Baginya, cukup mereka mempunyai tempat untuk berteduh dan rumah sedaif mana sekali pun akan dijadikan ‘syurga’ mereka.

Selain tiga anak bersamanya, ibu tunggal itu mempunyai tiga lagi anak yang bekerja kilang di Johor dan Kuala Lumpur, manakala seorang lagi tinggal bersama bekas suaminya dan bekerja di kilang papan di sini.

Sehingga kini, keluarga itu tidak menerima bantuan daripada mana-mana pihak dan berharap ada dermawan yang prihatin untuk membolehkan mereka meneruskan hidup lebih selesa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 1:05 PM