BERNAMA

Kuala Lumpur: Selebriti tanah air, Datuk Rosyam Nor dan Norman Hakim semalam, bersama 1,200 penunggang motosikal menyertai konvoi Ride for World #QuranHour yang bermula di Masjid Negara di sini sebelum berakhir di Shah Alam di Selangor.

Aktiviti konvoi bermotosikal itu merupakan acara simbolik bagi membina momentum ke kemuncak program World #QuranHour dan yang akan disambut pada Khamis depan.

Rosyam yang juga duta World #QuranHour berkata, acara disertai individu dan kumpulan bermotosikal itu inisiatif penting yang perlu digerakkan bagi memastikan penghargaan terhadap pentingnya al-Quran dalam kehidupan seharian.

“Kami bukan saja mahu mempromosikan acara ini pada Khamis depan, tetapi kami mahu menanamkan niat bagi mengimarahkan al-Quran walaupun kerja kami hanya sebesar kuman tetapi kami berdoa dan berharap ia besar di sisi Allah dan menjadi satu bekalan untuk di hari akhirat,” katanya ketika ditemui pada acara pelepasan konvoi itu di pekarangan Masjid Negara, semalam.


MUFTI Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (tengah) membacakan doa sebelum konvoi. FOTO Zunnur Al Shafiq

Bermula di pekarangan Masjid Negara, Kuala Lumpur, konvoi itu berhenti di beberapa masjid iaitu Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Masjid Muadz Bin Jabbal, Masjid Ar Rahman dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Seksyen 14, Shah Alam.

Dua naskah al-Quran diberi di setiap masjid yang disinggahi kumpulan konvoi itu sebagai satu tanda simbolik acara itu.

Konvoi berakhir di Pekarangan Kumpulan Media Karangkraf Shah Alam, untuk acara berbuka puasa.


ROSYAM mengetuai konvoi Ride for World #QuranHour yang bermula di Masjid Negara, semalam. FOTO Zunnur Al Shafiq

Masjid Sultan Ahmad Shah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dipilih sebagai lokasi utama World #QuranHour tahun ini dan dijangka 5,000 umat Islam akan menghadiri program itu.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dijangka hadir sebagai tetamu kehormat serta beberapa pemimpin yang juga alumni UIAM termasuk Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Anggota Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.


NORMAN dan Rosyam menyertai konvoi, semalam. FOTO Zunnur Al Shafiq

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 10:16 AM