KERETA mengandungi mayat Qi diturunkan ke dalam kubur. FOTO Youku/Dragonfruit Media Studio
Agensi

Beijing: Seorang peminat kereta membuat permintaan pelik apabila mewasiatkan supaya kereta dijadikan kerandanya ketika dia dikebumikan.

Menurut laporan media China, lelaki dikenali sebagai Qi itu meninggal dunia di kampungnya di bandar Baoding, wilayah Hebei, Isnin lalu.

Bagi memenuhi permintaannya, keluarganya membeli sebuah kereta jenis Hyundai Sonata berharga 10,000 yuan (RM6,199) sebagai keranda pada upacara pengebumian Qi, Selasa lalu.

Rakaman di media sosial menunjukkan kereta terbabit dengan mayat Qi di dalamnya, diturunkan perlahan-lahan menggunakan tali ke dalam kubur.

South China Morning Post melaporkan, rakaman video itu tular di media sosial dan ditonton lebih 1.6 juta kali pada Khamis lalu dengan netizen meninggalkan pelbagai komen.


KERETA mengandungi mayat Qi diturunkan ke dalam kubur. FOTO Youku/Dragonfruit Media Studio

Lubang kubur dikorek lebih besar berbanding biasa bagi memuatkan kereta berkenaan.

Penduduk kampung turut memberi penghormatan kepada si mati, berdiri di keliling kubur melihat kereta yang masih mempunyai nombor plat itu diturunkan.

“Ia tertulis dalam wasiatnya yang mahukan dikebumikan di dalam kereta. Dia minat kereta sejak kecil,” kata seorang penduduk kampung.

Pengguna Weibo menulis komen seperti: “Mujurlah si mati hanya menyukai kereta,” katanya.

Terdapat juga komen lucu seperti: “Saya suka kapal terbang, apa yang perlu saya lakukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Jun 2018 @ 9:34 AM
Skip this ad x