MUHAMMAD Nadir sambut Ramadan di Gaza, Palestin. FOTO IRM
Mohd Firdaus Ibrahim dan Suraya Roslan
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri, itu peribahasa sesuai bagi menggambarkan kehidupan penuntut dan rakyat Malaysia yang menjalani ibadah puasa sepanjang Ramadan di luar negara.

Dugaan berpuasa di negara orang membawa pelbagai pengalaman pahit-manis, serta mencabar apabila ada dalam kalangan mereka terpaksa berpuasa bagi tempoh masa panjang antara 16 hingga 18 jam sehari.

Tidak kurang pula ada yang berpuasa dalam keadaan serba kekurangan atau secara ala kadar kerana menetap di negara yang bergolak.

Satu-satunya rakyat Malaysia di Gaza, Palestin, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamarulzaman, 31, berkata, Ramadan kali ini disambut secara sederhana sahaja.

“Saya berbuka dan bersahur bersama lima anak tiri, manakala isteri lebih banyak menghabiskan masa di rumah kakaknya kerana menjaga anak saudaranya baru berusia 41 hari yang sakit.

“Umat Islam di Palestin berpuasa sekitar 15 jam sehari namun itu bukan cabaran utama sebaliknya ancaman keselamatan daripada rejim Israel,” menurutnya.

Katanya, jika di negara Muslim lain umat Islam tenang dengan gema laungan azan namun seminggu lalu kami di Gaza berdebar setiap kali mendengar bunyi bom meletup.

Ceritanya disebabkan siri serangan terbaru (berakhir semalam) dan Great Return March yang berakhir 15 Mei lalu, sambutan Ramadan di Gaza agak suram berbanding tahun lalu.

“Doakan kami di Palestin diberikan Allah kekuatan. Dalam semua mengejar pahala untuk bersedekah pada Ramadan ini, jangan lupakan keluarga para syuhada, yatim piatu di Gaza yang rata-ratanya dapur mereka tidak berasap. Teruskan menyumbang di akaun Maybank 5648 1050 7826 atas nama Persatuan Cinta Gaza Malaysia (PCGM),” katanya.

Dia yang juga penuntut jurusan syariah di Universiti Islam Gaza berkata, berikutan itu sebahagian besar daripada Rakyat Palestin cuma mampu meneguk air ketika berbuka dan bersahur serta menahan kelaparan.

Sementara itu penuntut tahun kedua University Kobe, Jepun, Nur Nadiah Ismail, 21, berkata, walaupun berpuasa dalam tempoh agak lama sekitar 16 jam iaitu dari jam 3 pagi hingga 7 malam namun pengalaman itu tidak mungkin akan dilupakan lebih-lebih lagi dia satu-satunya penuntut Muslim dalam Fakulti Sains Kemanusiaan Global universiti itu.

“Dalam fakulti ini hanya saya seorang saja orang Malaysia dan beragama Islam, rasa lain apabila kita dikelilingi rakan bukan Muslim yang kurang memahami kenapa perlu berpuasa sepanjang bulan mulia ini.

“Ada antara mereka terkejut dan risau kerana saya tidak makan atau minum dalam tempoh panjang. Saya menjelaskan kepada mereka sebab utama umat Islam berpuasa dan mengapa ia diwajibkan ke atas setiap Muslim.

“Lebih menarik ada antara mereka yang cuba berpuasa, namun separuh hari saja berikutan tidak dapat menahan dahaga, namun mereka tidak makan sehinggalah waktu berbuka,” katanya.

Menurutnya, tidak seperti umat Islam di Malaysia yang ke bazar Ramadan untuk membeli juadah berbuka Nur Nadiah, selesa memasak sendiri.


NUR Nadiah melalui pengalaman berpuasa selama 16 jam di Jepun. FOTO NSTP

Pendapat sama turut dikongsi penuntut tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia di Iowa State University, Amerika Syarikat, Afina Syaurah A Aziz, 21, yang melalui pengalaman berpuasa selama 17 jam buat pertama kali dalam hidup.

Anak kelahiran Pahang itu berkata, semakin Ramadan ke penghujung tempoh berpuasa bertambah panjang namun setakat ini dia masih bertahan.

“Sekarang saya berpuasa dari jam 4 pagi dan berbuka 8.40 malam, kadang-kadang saya tidak bersahur kerana masih kenyang, hanya makan kurma dan jamah ringan.

“Cabaran utama sekarang suhu agak tinggi berikutan musim panas. Memang benar pengalaman pertama berpuasa di negara orang sangat lain,” katanya.

pada mulanya perasaan takut menyelubungi diri kerana bimbang tidak dapat bertahan,” katanya.


AFINA Syaurah (dua dari kiri) pertama kali berpuasa selama 17 jam di Amerika Syarikat. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 7:42 AM