Fasha (kiri) mahu mohon maaf kepada Nora. FOTO AZIAH AZMEE
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


FASHA Sandha akan memohon maaf kepada pelakon, Nora Danish berikutan luahan hati aktres popular itu di Instagram miliknya membabitkan insiden 'dihalau' pada satu majlis pertunjukkan fesyen tahun lalu.

Kenyataan dimuat naik oleh Fasha itu didakwa mengguris perasaan Nora.

Fasha bagaimanapun tidak dapat memberi komen panjang membabitkan permohonan maaf akan dibuat namun mengharapkan ia positif sekali gus menamatkan hubungan dingin yang sering dikaitkan antara mereka berdua.

Kata Fasha, tindakan bakal dilaksanakan itu disifatkan lahir dari pemikiran matang dan pada masa waktu sama ia demi anak-anak dan keluarga.

"Seperti diketahui anak sulung Nora, Putra Rayqal Ramli abang kandung kepada dua anak saya, Putra Rayfal Ramli dan Putri Raysha Jemaima," katanya.

Katanya, persengketaan timbul sangat tidak sihat untuk anak-anak sedang membesar.

Apatah lagi Rayfal, Rayqal dan Jemaima sangat rapat disebabkan oleh ayah mereka, Rizal Ashram Ramli.

"Sangat tidak bagus sekiranya anak-anak baik tetapi kedua-dua ibu mereka pula ada masalah. Jadi saya fikir itu jalan penyelesaian terbaik.

"Tambahan pula, perkara itu dilakukan dalam bulan Ramadan yang penuh kemuliaan," katanya.

Fasha mengakui dia bersama Nora ada mengunjungi pejabat Mediasi di Mahkamah Tinggi Shah Alam, baru-baru ini dalam usaha untuk berdamai.

Pelakon utama filem Anak Halal itu berkata, pihaknya akan memberikan kenyataan mengenainya dalam tempoh terdekat.

"Isu membabitkan kami berlarutan terlalu lama, Jadi, jalan terbaik adalah berdamai dan hidup dalam suasana harmoni.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat dari kedua-dua belah pihak yang tidak putus-putus mendoakan agar kami berdamai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Jun 2018 @ 12:44 PM