MAYAT anak Johari, Nur Suri Danila ,14, ditemui pada jam 8.40 pagi di Kampung Sungai Kob kira-kira satu kilometer dari rumah mereka di Kampung Baru. FOTO Omar Osman
LAPORAN Harian Metro sebelum ini
BERNAMA

“ANAK saya, Azim Hazrin suruh kami jangan angkat apa-apa barang sebab tengok hujan dan air sungai yang naik pelik sangat.

“Masa tu, air dah separas dada, kami keluar untuk duduk di atas pelantar di garaj kereta sebab tempat itu tinggi. Tapi tak sampai lima minit, air memenuhi ruang garaj dan arus kuat hanyutkan kami semua," kata Che Yam Ton, 55, yang kehilangan suami dan anak perempuannya dalam kejadian banjir kilat di Kampung Baru Tambahan Seberang berhampiran Sungai Kob di Kulim, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah malam, Johari Bakar,57, dan anak bongsunya, Nor Suri Danila, 14, lemas selepas hanyut akibat arus deras ketika cuba menyelamatkan diri bersama Che Yam dan Azim Hazrin, 21.

Penduduk kampung menemui mayat Nor Suri Danila tersangkut pada pokok di tepi sungai, 8.40 pagi tadi selepas hanyut kira-kira tiga kilometer dari rumah.

Mayat Johari pula ditemui kira-kira 1.5 kilometer dari rumahnya kira-kira 10 pagi tadi.

Che Yam yang ditemui di unit Forensik Hospital Kulim berkata, dia pada mulanya berjaya berpaut pada pokok jambu dan memegang Nor Suri Danila, manakala Azim Hazrin berjaya memaut pada tiang garaj.

Bagaimanapun, Che Yam terlepas pegangan Nor Suri Danila selepas terlanggar motosikal dan sempat mendengar anaknya itu menjerit memanggil abangnya.

Che Yam kemudiannya berjaya sekali lagi berpaut pada pokok mangga dan menunggu sehingga 3 pagi sebelum diselamatkan.

“Orang kampung jumpa makcik dan seorang lagi anak awal lagi tapi tak boleh nak selamatkan sebab arus kuat. Jadi mereka tunggu sampai air surut dalam jam 3 pagi," katanya.

Kedua mayat dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Sungai Kob selepas urusan bedah siasat selesai dilakukan.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Nasir Jaafar yang dihubungi Bernama mengesahkan kejadian.

“Kejadian berlaku akibat arus deras yang berlaku di sungai yang terletak berhampiran rumah mangsa sekitar 11 malam.

"Mangsa dalam cubaan menyelamatkan diri sebelum ditolak arus kuat dan hanyut. Kedua-dua mayat sudah dijumpai dan diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Berita berkaitan:

Dua beranak lemas banjir di Kulim

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mei 2018 @ 4:42 PM