Anuar doakan semoga Allah cucuri rahmat ke atas arwah Sam. FOTO FB Sam
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


PENYANYI Anuar Zain, 48, akui sangat terkejut apabila dimaklumkan pengurusnya, Nana Ahmad mengenai kematian bekas pengurus artis era 1990-an, Allahyarham Sam Kassim, pagi semalam.

Anuar atau Shahrul Anuar Zain berkata arwah adalah seorang sahabat yang sangat baik termasuk begitu bertanggungjawab pada urusan kerja digalasnya.

"Kehilangan arwah yang mengejutkan itu amat terkesan buat diri saya dan juga 'team' saya kerana kami sudah lama kenal dan bekerjasama.

"Arwah menerusi syarikatnya bekerjasama dengan saya untuk urusan publisiti single baru yang dilancarkan.

"Sepanjang arwah bertindak sebagai 'publicist' saya, segala urusan kerja di bawah kendaliannya amat komited.

"Arwah juga seorang yang tidak suka membebankan teman lain dengan masalahnya baik soal peribadi atau pun hal kerja," katanya menerusi kiriman aplikasi WatsApp.

Menurut Anuar kini tiada lagi senda gurau dan tawa arwah yang selalu membahagiakan kami semua terutama ketika bekerja.

"Saya dan 'team', kami akan merindui arwah. Apapun, perginya menghadap Maha Pencipta di bulan Ramadan yang mulia ini.

"Kami mendoakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Sam. Diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan org beramal soleh," katanya.

Kali terakhir Allahyarham menguruskan publisiti untuk Anuar pada tahun lalu menerusi acara siri jelajah promosi album kali kedua bersama Mydin.

Semalam, Allahyarham Sam atau nama sebenarnya Samsu Bahri Kassim, 55, ditemui meninggal dunia jam 5.20 pagi akibat komplikasi jantung di kediamannya di Bukit Antarabangsa Kuala Lumpur.

Lebih 30 tahun berkhidmat dalam industri hiburan, sudah ramai penyanyi terkenal tanah air pernah diuruskan oleh Allahyarham antaranya Erra Fazira, Ning Baizura dan Noryn Aziz.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di kampung halamannya di Terengganu, sekitar jam 5 petang semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mei 2018 @ 12:39 PM