WANITA yang ditahan selepas menjual anak perempuannya yang berusia 19 bulan. - People’s Daily
SUSPEK lelaki dan wanita yang ditahan kerana disyaki menjadi pembeli kepada kanak-kanak yang dijual wanita itu. - People’s Daily
Agensi

Beijing: Seorang wanita tergamak menjual anak perempuannya berusia 19 bulan dengan harga 50,000 yuan (RM31,000) semata-mata untuk berjoli termasuk membeli barangan kosmetik.

Wanita yang cuma dikenali sebagai Yu itu ditahan bersama dua ‘pembeli’ kerana disyaki menjual dan memperdagangkan kanak-kanak.

Daily Mail yang memetik media China melaporkan, Yu pada mulanya mendakwa anaknya hilang di stesen kereta api dan melaporkannya kepada polis, 20 jam kemudian.

Bagaimanapun, siasatan polis mendapati wanita berkenaan menerima 50,000 yuan yang dipindahkan ke dalam akaun banknya pada hari anaknya ‘hilang.’

Polis percaya wang itu dipindahkan sindiket pemerdagangan manusia.

People’s Daily Online melaporkan, Yu membawa anaknya Huahua ke Zhengzhou wilayah Henen, pada pagi 20 Mei lalu.

Dia kemudian menjual Huahua kepada dua orang - suspek wanita, Wei dan lelaki, Li - di stesen kereta api Zhengzhou sebelum waktu tengah hari.

Sebaik menerima laporan Yu, polis mengerahkan anggotanya mencari Huahua di sekitar stesen kereta api berkenaan, termasuk melihat rakaman kamera keselamatan untuk 24 jam sebelumnya.

Pemeriksaan transaksi bank Yu pula menemui sejumlah wang yang besar dipindahkan ke dalam akaunnya sekitar tengah hari, 20 Mei lalu.

Satu lagi rekod transaksi menunjukkan Yu pergi membeli-belah, malah membelanjakan 6,000 yuan (RM3,700) untuk membeli kosmetik dan barangan lain pada petang sama.

Yu kemudian mengaku kepada polis dia membuat laporan palsu supaya keluarganya tidak menghidu tindakannya menjual Huahua.

Polis mencadangkan Yu menghubungi Wei dan Li untuk mendapatkan Huahua kembali, namun dua suspek itu memberitahu mereka mahu bayaran tambahan 10,000 yuan (RM6,200) selain 50,000 yuan yang dibayar pada asalnya sebelum berjanji bertemu.

Huahua diselamatkan apabila dua suspek itu datang menyerahkannya kepada ibunya. Yu turut ditahan kerana menjual anaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mei 2018 @ 6:34 AM