LAPORAN portal berita Harian Metro mengenai kes pembunuhan Nur Alya Damia.
Mohd Khidir Zakaria
cnews@nstp.com.my


“DATUKNYA amat terkejut dan terlalu sedih sehingga tidak sanggup pergi ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk menuntut mayat Nur Alya,” kata Hairi Jamil, 45, bapa Nur Alya Damia, 19, yang mati dibunuh di Port Dickson, malam kelmarin.

Dengan suara masih bersedih, Hairi memberitahu wartawan NSTP, seperti dia dan isteri, bukan mudah untuk bapa mentuanya, Jamil Dolah, 75, menerima hakikat kejadian malang menimpa cucu kesayangannya itu.

“Arwah adalah cucu sangat rapat dengannya sejak kecil. Mungkin mereka lebih rapat disebabkan Nur Alya adalah cucu sulung daripada semua 15 cucunya.

“Dia tidak mengikut kami ke Port Dickson semalam, sebaliknya hanya menunggu di rumah di Pandamaran, Klang. Walaupun begitu, dia kerap menghubungi kami semua untuk bertanya bila jenazah akan dibawa pulang.

“Sebaik jenazah tiba 4.50 petang semalam, dia kerap menangis lebih-lebih lagi selepas melihat wajah cucunya itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian 10.30 malam kelmarin, mayat Nur Alya yang juga penuntut Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD) ditemui seorang penduduk di tepi jalan di Lorong 4, Taman PD Permata, Port Dickson, sebelum dia menghubungi polis.

Susulan itu, polis menahan suspek utama iaitu seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang juga penuntut KVPD di rumah sewanya di Taman PD Idaman, kira-kira satu kilometer dari lokasi mayat mangsa ditemui.

Jenazah Nur Alya Damia yang dipanggil Kak Long itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang, di Klang, 6.50 petang semalam.

Sementara itu, bapa saudara mangsa yang enggan namanya disiarkan berkata, kali terakhir bertemu arwah Sabtu lalu ketika dia membawa keluarganya datang berbuka puasa di rumah Hairi.

“Arwah yang sememangnya mesra dengan kami kelihatan amat gembira seperti biasa dan dia masih suka mengusik anak saudaranya.

“Pasti kehilangan Nur Alya amat dirasai seluruh ahli keluarga kami,” katanya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Jenazah Nur Alya dikebumikan [METROTV]

‘[UPDATE] Suspek bunuh Nur Alya direman

‘Kak Long sepatutnya balik petang ni’ [METROTV]

Bekas kekasih Nur Alya ditahan

'Kami menjerit, Allahuakbar.... '

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 1:15 PM