JUNITA (tengah) menyerahkan #HMKotakRezeki kepada Ketua Tenaga Pengajar, Muhammad Amirullah Ruslan ketika Majlis Penyerahan #HMKotakRezeki di Madrasah Tahfiz al-Quran as-Soliheen, Kempas. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@nstp.com.my

Johor Bahru: “Mudir dan ustaz selalu berpesan jangan suka meminta dan terlalu mengharap pada bantuan orang, tetapi kena bersyukurlah dengan apa yang ada,” kata Muhd Nabil Auzair Nazaruddin, 13, pelajar Madrasah Tahfiz al-Quran as-Soliheen.

Muhd Nabil antara 32 pelajar di Madrasah Tahfiz al-Quran as-Soliheen di Permatang, Taman Kempas Baru di sini. Madrasah itu satu daripada penerima #HMKotakRezeki Ramadan tahun ini.

Anak keempat daripada lima beradik itu berkata, mereka di madrasah itu mendapat sumbangan daripada pelbagai pihak namun sering diingatkan supaya berusaha sendiri jika inginkan sesuatu.

“Kalau mengenai sumbangan dan bantuan, memang kita selalu dapat, tetapi mudir dan ustaz selalu pesan jangan asyik fikir yang kita dapat bantuan percuma ini selalu.

“Sebaliknya, bersyukur dan usaha jika mahukan sesuatu,” katanya yang mula menuntut ilmu di madrasah itu Januari lalu atas kehendak diri sendiri.

Bagi Mudirnya, Mohamed Ruslan Ismail, pemberian #HMKotakRezeki diterima dengan penuh kesyukuran, sekali gus menunjukkan keprihatinan dan sokongan pihak luar kepada mereka.

“Alhamdulillah, syukur. Kita memang memerlukan sokongan daripada pihak luar kerana kita memang serba kekurangan. Tetapi, bukan bermaksud kita pergi meminta-minta, sebaliknya kita berharap pada Allah saja.

“Alhamdulillah, walaupun perbelanjaan kami di sini menggunakan dana sendiri, tetapi ada saja bantuan, sedekah dan infaq yang diterima daripada orang ramai,” katanya ketika ditemui pada kunjungan Harian Metro bagi penyerahan #HMKotakRezeki di sini, semalam.

Kunjungan turut disertai Ketua Biro The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Johor, Junita Md Rasid dan Ketua Zon Bahagian Penghantaran Pos Laju Johor Bahru, Hamzah Aspani.

Madrasah Tahfiz al-Quran as-Soliheen hanya menempatkan pelajar lelaki berusia sembilan hingga 15 tahun yang mula beroperasi pada Februari 2017 dan kini mempunyai empat tenaga pengajar.

Semalam, rombongan #HMKotakRezeki turut singgah di Pertubuhan Amal Anak-Anak Yatim dan Miskin Raudhatul Maryam di Taman Pulai Utama, Skudai, Madrasah Tahfiz Quran Sidi Ibrahim al-Rasul, Kampung Sinaran Baru, Skudai dan Madrasah Tahfiz Nurul Yakin, Felda Sungai Sayong, Kulai.

#HMKotakRezeki yang mengandungi kelengkapan dapur seperti beras, tepung gandum, gula, Milo, bihun dan kordial itu ditaja barisan penaja yang bekerjasama tahun ini antaranya Affin Islamic Bank, Pos Laju, Watsons dan Nabati Group.

Sementara itu, Yang Dipertua Pertubuhan Amal Anak-Anak Yatim dan Miskin Raudhatul Maryam, Mohd Nasir Mohd Nor berkata, sumbangan #HMKotakRezeki itu bukan saja digunakan pertubuhan itu, tetapi diinfaqkan kepada masyarakat setempat yang memerlukan.

“Terima kasih Harian Metro. Kita di sini bukan saja menerima sumbangan ini, tetapi kita turut memberinya kepada mereka yang memerlukan.

“Kita terima sumbangan ini dan gunakannya mengikut keperluan kita di sini. Selebihnya akan diletakkan di pusat infaq kami yang mana masyarakat setempat yang hidup susah boleh datang dan mengambilnya,” katanya.

Pertubuhan itu yang wujud sejak 2007, kini mempunyai tiga rumah untuk menempatkan 55 orang anak yatim dan miskin terdiri daripada 44 lelaki dan 11 perempuan berusia lima hingga 16 tahun dengan sebuah pusat infaq yang diusahakan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Mei 2018 @ 5:45 AM