Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor dan Mohd Khidir Zakaria
news@nstp.com.my


“SEPATUTNYA petang ini dia balik ke Klang selepas habis kuliah. Tak sangka kami menjemputnya dalam keadaan macam ini," kata Hairi Jamil, 45, bapa Nur Alya Damia, 19, pelajar Kolej Vokasional Port Dickson (KVPD) mangsa pembunuhan di Taman PD Permata, Port Dickson, malam tadi.

Hairi berkata, anaknya itu turut menghubunginya Rabu lalu minta carikan tempat latihan amali di Klang kerana Nur Alya tak mahu berjauhan dengan keluarga lagi.

Ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Port Dickson (HPD) pagi ini, Hairi berkata, anak sulung daripada tiga beradik itu akan menamatkan pengajian Diploma Rangkaian Komputer tidak lama lagi.

"Dia kata mahu cari tempat latihan amali di Klang atau Shah Alam supaya dekat dengan keluarga. Lagi pun katanya, dia akan tamat belajar tidak lama lagi," katanya.

Hairi berkata, dia sekeluarga pasti merindui Nur Alya yang mesra dengan panggilan Kak Long kerana arwah seorang anak yang baik dan periang.

Katanya, kali terakhir mereka bertemu pada minggu lepas apabila arwah balik ke rumah di Kampung Idaman, Pandamaran, Klang.

"Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan ketika itu dan saya membenarkan dia membawa Proton Waja milik saya balik ke kolej. Dalam masa yang sama, dia boleh menghantar adiknya (Mohd Nabil, 16) ke Asrama Sekolah Menengah Teknik Seremban," katanya.

Menurutnya, Nur Alya Damia tinggal menyewa rumah di Taman Selasih bersama tiga lagi rakan sekuliahnya yang terletak tidak jauh dari kolej.

Hairi berkata, dia dan isteri Hanayati Yaakob, 44, reda dengan ketentuan ini dan membawa jenazah pulang ke Pandamaran untuk dikebumikan selepas bedah siasat selesai dilakukan.

Sementara itu, tinjauan NSTP di bilik mayat HPD mendapati ramai ahli keluarga dan rakan kolej arwah menunggu untuk proses bedah siasat selesai sebelum dibawa pulang dan dikebumikan di Pandamaran dijangka selepas Asar petang ini.

Terdahulu, pada 10.30 malam tadi, mayat Nur Alya ditemui oleh orang awam di tepi jalan di Lorong 4, Taman PD Permata, di sini yang kemudian memaklumkan kepada pihak berkuasa.

Rakan serumahnya, Ain Zulaika Zamuri, 19, berkata, sebelum kejadian, Nur Alya Damia yang juga rakan sekuliahnya itu keluar pada 9 malam dan memaklumkan mahu bertemu teman lelakinya di kawasan berhampiran.

Berita berkaitan

'Kami menjerit, Allahuakbar.... '

[UPDATE] Bekas kekasih Nur Alya ditahan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 2:07 PM
SEBAHAGIAN rakan mangsa tidak dapat menahan kesedihan ketika menunggu jenazah Nur Alya Damia Hairi, 19, dipercayai mati dibunuh oleh bekas kekasihnya di Taman PD Permata, Port Dickson. FOTO Hazreen Mohamad