ABDALLAH menunjukkan burger Palestin. FOTO Syamsi Suhaimi
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my

Kota Bharu: Kerinduan mendalam terhadap kampung halamannya di Gaza, Palestin mendorong seorang peniaga bersama isterinya menjalankan perniagaan makanan dari Asia Barat di negeri ini.

Antara makanan yang dijual Abdallah Ismail Haniya, 33, dan isterinya Noor Syazwani Nordin, 35, termasuk shawarma Palestin, nasi Arab dan ayam Gaza.

Sempena Ramadan tahun ini, dia memperkenalkan menu baru iaitu burger Palestin yang bersaiz besar dengan menggunakan sos dihasilkan sendiri.

Abdallah berkata, dia bersama isteri memulakan perniagaan makanan Palestin di negeri ini sejak empat tahun lalu.

Menurutnya, kerinduannya yang mendalam terhadap tanah airnya yang sedang bergolak mendorongnya untuk berniaga sekali gus dapat menampung keluarganya di sini dan di Palestin.


ABDALLAH dibantu isteri menyediakan burger Palestin dan kebab. FOTO Syamsi Suhaimi

“Sejak berada di sini pada 2012 sehingga bertemu jodoh dengan isteri, saya tidak dapat pulang kerana keadaan yang tidak menentu di sana.

“Jadi tercetus idea untuk menjalankan perniagaan makanan Palestin.

“Alhamdulillah, biarpun rasa berbeza, sambutan yang diberikan masyarakat setempat menggalakkan terutama di bulan Ramadan.

“Setiap hari saya mampu menjual antara 50 hingga 100 shawarma termasuk menerusi dalam talian,” katanya ketika ditemui di kiosknya di Jalan Padang Garong di sini.

Abdallah berkata, hasil jualan turut dihantar kepada keluarga di Palestin untuk meringankan beban mereka.

Menurutnya, semua resipi diperoleh daripada ibunya, Eitidal Subhi Haniya, 64, yang kini berada di Palestin.

“Semua makanan yang dijual dihasilkan sendiri menggunakan campuran rempah ratus memastikan keaslian rasa hidangan Palestin.

“Resipi diperoleh dari ibu yang akan saya hubungi menerusi aplikasi Skype,” katanya yang fasih berbahasa Melayu.


ABDALLAH melayan pelanggan membeli juadah berbuka. FOTO Syamsi Suhaimi

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Mei 2018 @ 5:30 AM