KEADAAN mangsa terperosok di bawah bas. Gambar kecil - Wamasaria. FOTO Ihsan Bomba
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@nstp.com.my


PENUNTUT perempuan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) maut digilis bas, manakala rakannya cedera dalam kemalangan di Jalan USIM berhampiran Dewan Tunku Canselor di Bandar Baru Nilai, hari ini.

Dalam kejadian jam 5.45 petang itu, Wamasaria Layai, 22, yang membonceng motosikal berkenaan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala, manakala penunggang, Nurul Fariza Natasha Sapuan, 22, cedera ringan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Mohd Abdul Kadir berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal mereka bergesel dengan bas menyebabkan kedua-duanya terjatuh.

“Pembonceng terperosok di bawah bas menyebabkannya digilis tayar kenderaan itu. Bagaimanapun, rakannya hanya mengalami luka pada badan.

“Mangsa yang maut dihantar ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban dan bedah siasat dijangka akan dilakukan jam 10.30 pagi esok,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 9:29 PM