Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


PENYANYI Deja Moss mengakui Ramadan kali ini adalah tahun kedua dirinya ditinggalkan suami, Azfendy Azzuddin Ahmad.

Deja atau Sharifah Hadijah Wan Moss, 45, berkata, perkara itu membuatkan dia sudah terbiasa hidup bersendirian.

"Sebenarnya Ramadan tahun lalu tiga minggu kami tidak berpuasa bersama sebab suami ada urusan kerja di Johor. Jadi, saya berpuasa seorang diri. Suami pun tidak bawa saya bersama.

"Jadi, tahun ini sekali lagi saya menyambut Ramadan berseorangan. Bagi saya sekarang, kalau hidup berdua atau sendiri, sama saja sebab memang selalu ditinggalkan. Pendek kata, saya sudah biasa hidup seorang diri," katanya kepada Harian Metro.

Deja yang ditemui selepas prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, membabitkan kes perceraian yang difail suaminya pada 5 Mac lalu tidak dapat menahan air mata tatkala berkongsi nasib menimpa dirinya.

"Kita mampu merancang, tetapi Allah SWT menentukan segalanya. Saya tidak tahu nak cakap apa lagi," katanya ringkas.

Status perkahwinan Deja dan suami akan diketahui pada 11 Julai depan selepas jawatan kuasa pendamai (JKP) mengemukakan laporan berhubung jalan penyelesaian dalam kes perceraian.

Perkara itu dimaklumkan peguam syarie, Halimatumsa'diah Abu Ahmad yang mewakili Deja selaku defendan selepas prosiding dilakukan secara tertutup di hadapan Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin.

"Saya bersetuju dengan JKP kerana tiada komunikasi antara kami selepas dia menyekat saya dari semua medium.

"Apa yang lebih mengejutkan, apabila saya menerima surat saman (permohonan perceraian) dan sudah tentu ia sesuatu yang sukar kerana berlaku tanpa pengetahuan.

"Banyak perkara yang perlu dibincangkan dan diselesaikan antara kami berdua," katanya.

Deja dan Azfendy berkahwin pada 30 Ogos 2008 dan tidak dikurniakan anak.

Berita berkaitan

Deja Moss sedia hidup solo

Deja, Azfendy perlu lantik JKP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 3:53 PM
DEJA Moss hadir pada prosiding cerai di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Timur. FOTO Hafiz Sohaimi