Mahaizura Abd Malik
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Segalanya bertemakan watak Hello Kitty bermula daripada kereta, barangan hiasan, kelengkapan rumah, alat solek, pakaian hingga ke makanan.

Itu tahap obses ibu kepada dua anak, Syamilatul Hani Samsuddin, 36, yang sanggup menghabiskan lebih RM40,000 semata-mata memenuhi minatnya mengumpul pelbagai barangan daripada karektor kucing comel berkenaan sejak usianya 22 tahun.

Pereka grafik sebuah syarikat terkemuka di ibu negara itu berkata, dia meminati Hello Kitty sejak di bangku sekolah menengah.

“Ketika itu, saya hanya mampu membeli rantai kunci dan pelekat peti sejuk saja kerana barangan asli Hello Kitty biasanya mahal.

“Barangan pertama yang saya beli selepas mula bekerja ialah aksesori kereta. Daripada situ, saya mula mengumpul baju, tudung, kasut, alat solek, beg dan pelbagai lagi barangan bertemakan Hello Kitty,” katanya.

Menurutnya, hobinya turut dibawa ke alam rumah tangga dan mendapat sokongan ahli keluarga terutama suaminya, Ismail Ibrahim, 33.


SYAMILATUL Hani bersama keretanya yang diubahsuai mengikut tema Hello Kitty. FOTO Eizairi Shamsudin

“Apabila hendak berkahwin, saya mula mengumpul barangan kecil seperti pinggan mangkuk.

“Lama-kelamaan rumah saya dihiasi dengan tema Hello Kitty termasuk alas sofa, langsir, kesat kaki, kertas dinding, periuk nasi, cerek, sudip, senduk, gayung, berus gigi dan banyak lagi.

“Saya juga suka membeli minuman daripada botol Hello Kitty, coklat, gula-gula, biskut dan pasta yang semuanya bertemakan karektor kartun itu.

“Biasanya semua ini saya dapatkan di kedai khas yang menjual barangan Hello Kitty sama ada di Malaysia, Thailand, Taiwan dan Jepun,” katanya.

Syamilatul Hani berkata, dia pernah dianggap pelik kerana mempunyai hobi sebegitu namun tetap mempertahankan minatnya itu.

“Saya pernah diejek sudah dua anak pun masih suka pakai baju dan kasut Hello Kitty. Benda itu sudah lali namun kerana minat tetap diteruskan.

“Bagi saya, hobi ini sangat subjektif, tidak semestinya Hello Kitty untuk kanak-kanak saja kerana zaman sekarang sudah menjadi trend apabila banyak barangan untuk orang dewasa turut dicipta menggunakan watak ini,” katanya.


SYAMILATUL Hani menunjukkan koleksi Hello Kitty miliknya. FOTO Eizairi Shamsudin

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mei 2018 @ 5:19 AM